Itali bukan biasa-biasa

Iklan
Itali melebarkan rekod tanpa kalah setelah melabuh tirai peringkat kumpulan A dengan kemenangan 1-0 ke atas Wales sebentar tadi.

ITALI melaungkan amaran penampilan The Azzurri pada saingan Euro 2020 'bukan omong kosong' apabila melebarkan rekod tanpa kalah setelah melabuh tirai peringkat kumpulan A dengan kemenangan 1-0 ke atas Wales sebentar tadi.

Kemenangan ke atas The Dragons itu melebarkan rekod tanpa kalah dalam 30 perlawanan semua pertandingan sekaligus menyamai catatan sepanjang zaman The Azzurri di bawah jurulatih pemenang Piala Dunia, Vittorio Pozzo antara November 1935 dan Julai 1939.

Iklan
Iklan

Untuk rekod, kali terakhir Itali tewas adalah ketika tumbang 0-1 semasa menentang Portugal pada September 2018.

Skuad kendalian Roberto Mancini yang sebelum itu telah pun mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik, mengambil tindakan berani apabila hanya mengekalkan Gianluigi Donnarumma, Jorginho dan Leonardo Bonucci dalam kesebelasan utama.

Iklan

Pada aksi pertama, anak buah Mancini menewaskan Turki 3-0 sebelum meneruskan rentak kemenangan ke atas Switzerland dengan jaringan sama.

Percaturan Mancini itu berbaloi apabila pemain tengah kelab Serie A, Atalanta BC, Matteo Pessina muncul wira Azzurri apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-39 dalam aksi di Stadium Olimpico, Rome, berkenaan.

Iklan

The Dragons kendalian Rob Page, cuba bangkit pada babak kedua tidak kesampaian apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain pertahanan, Ethan Ampadu dilayangkan kad merah pada minit ke-55, selepas mengasari Federico Bernardeschi

Bagaimanapun biarpun tewas, skuad kendalian Page tersebut tetap mengiringi Itali ke pusingan 16 terbaik dengan status naib juara kumpulan A.

Itali dijangka berdepan naib juara kumpulan C manakala Wales berdepan naib juara di kumpulan B.

Dalam satu lagi aksi, Switzerland menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga terbaik selepas menewaskan Turki 3-1 di Stadium Olimpik, Baku di sini.

Tiga gol dihasilkan Haris Seferović pada minit keenam diikuti jaringan Xherdan Shaqiri pada minit ke-26' dan 68' sudah cukup membolehkan skuad Vladimir Petkovic tersebut melakar kemenangan pertama dalam aksi terakhir peringkat kumpulan itu.

Sementara itu, Turki kendalian Senol Gunes berjaya mengurangkan defisit gol hasil jaringan minit ke-62, untuk kekal terperosok di tangga terbawah kumpulan selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kempen Euro kali ini