SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan menyegerakan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen bagi menangani masalah gangguan seksual di sekolah dan institusi pusat pengajian tinggi (IPT).
Presiden MBM, Juftri Joha berkata, MBM bimbang terhadap pendedahan yang dilakukan oleh pelajar mengenai gangguan seksual yang berlaku di sekolah dan IPT.
Menurut beliau, isu sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana sekolah dan IPT perlu menjadi tempat yang selamat untuk menimba ilmu, malah tidak seharusnya dicemari dengan isu yang bertentangan dengan nilai ilmu serta hikmah.
"Namun terdapat segelintir kecil warga pendidik yang terlibat dengan kesalahan tingkah laku tersebut sehingga mencemarkan nama baik profesion yang mulia ini.
"Tindakan yang menjijikkan tersebut wajar dikutuk dan diberikan hukuman setimpal. Justeru MBM menggesa pihak kerajaan agar dapat menyegerakan pembentangan RUU Gangguan Seksual di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Isnin.
Beberapa orang pelajar sekolah dan bekas pelajar universiti baru-baru ini telah membuat pendedahan di media sosial mengenai gangguan seksual seksual yang didakwa dilakukan oleh guru serta pensyarah mereka.
Pada Februari lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memaklumkan RUU melibatkan isu gangguan seksual berada di peringkat akhir untuk disiapkan dan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Sementara itu, Jufitri menegaskan selaras dengan semangat Rukun Negara, tenaga pengajar bertanggungjawab untuk mendidik anak murid menjadi insan yang beradab dan warganegara yang berguna, bukannya mengeksploitasi serta merosakkan mereka.
Beliau berkata, pihak sekolah dan universiti perlu menyediakan platform atau garis panduan bagi membolehkan pelajar serta mahasiswa melaporkan sebarang salah laku berkaitan gangguan dan eksploitasi seksual.
"Kempen kesedaran terhadap gangguan seksual di sekolah dan kampus juga perlu diperkasakan,” ujarnya.