PARIT BUNTAR - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diacu pisau dalam kejadian samun di kediamannya di Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini pada Jumaat.
Kejadian sekitar jam 7.30 malam itu berlaku apabila mangsa berusia 67 tahun menerima kehadiran seorang lelaki yang mahu menyampaikan bantuan sebungkus bihun.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, suspek bertindak meluru masuk rumah sebaik mangsa membuka pintu untuk menerima bantuan terbabit.
"Suspek bertindak mengacukan pisau dan mencekup mulut mangsa menggunakan tangan lalu memintanya menyerahkan duit serta rantai yang dipakai di leher.
"Mangsa yang ketakutan menyerahkan rantai yang dipakai dan wang tunai berjumlah RM600 yang disimpan di dalam dompet," katanya di sini pada Isnin.
Menurut beliau, suspek yang memakai topi keledar berwarna hitam, berjaket dan bercermin mata bertindak menggeledah rumah mangsa.
"Setelah hampir setengah jam menggeledah rumah suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal.
"Mangsa tidak mengecam jenis kenderaan yang ditunggang suspek dan tidak pasti barang lain yang diambil," katanya.
Mazuki berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihaknya turut menasihatkan orang ramai terutama warga emas yang tinggal bersendirian agar tidak mudah percaya mana-mana individu yang datang terutama pada waktu malam bagi menyampaikan bantuan.