Isu Parlimen: Pendirian UMNO selari keputusan Majlis Raja-Raja Melayu

Iklan
Armand Azha Abu Hanifah

SHAH ALAM - Pendirian UMNO untuk mendesak kerajaan supaya memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, ia bertepatan dengan sistem demokrasi negara iaitu Parlimen dibuka untuk meraikan demokrasi terutama dalam isu kepentingan rakyat dan negara.

Iklan
Iklan

"UMNO sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

"Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Iklan

Pada 21 Jun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Menurut Ahmad Zahid, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

Iklan

Ia susulan pada Rabu minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.