KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persaingan kuasa besar dan gangguan asing yang berlegar di sekitar Timur Tengah merupakan satu lagi peringatan mengapa Malaysia dan ASEAN mesti sentiasa berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini.
Perdana Menteri berkata, jika Malaysia dan ASEAN tidak berhati-hati nasib sama yang menimpa Timur Tengah boleh berlaku di rantau ini dengan natijah yang boleh diramal.
"Negara-negara dirantau ini akan dipaksa membeli senjata dalam jumlah yang banyak daripada kuasa besar untuk bertarung sesama sendiri yang mana keuntungan kuasa besar dan negara asing itu akan meningkat sementara ASEAN akan menjadi semakin lemah dan tidak stabil.
Kita sudah mula melihat benih konfrontasi dan persaingan di rantau kita. Talian sedang disediakan. Pangkalan sedang dibina. Armada sedang disiapkan. Tekanan supaya memihak telah dilakukan,"katanya dalam ucapan perasmian Simposium dan Pameran Foto" Stand With Yemen" di sini, hari ini.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Dr Mahathir berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan rakan-rakan di ASEAN untuk menaik taraf rangka kerja serantau yang sedia ada untuk memastikan rantau ini tidak memberi ruang campur tangan kuasa besar dan untuk memastikan persaingan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China tidak membawa kepada keretakan di rantau ini.
"Malaysia sentiasa meletakkan harapan terhadap dasar berkecuali, bersikap terbuka dan mesra kepada semua negara. Kami tidak akan berpihak dalam persaingan kuasa besar dan tidak akan bergantung kepada pakatan ketenteraan atau perkongsian strategik. Dasar ini telah menjadi amalan Malaysia dan ASEAN dalam menghadapi tempoh getir persaingan kuasa besar pada masa lalu akan terus relevan sebagai rangka kerja keselamatan serantau.
Dr Mahathir berkata, peringatan sewajarnya telah diberikan kepada semua negara, jauh atau dekat, supaya menghormati dasar tidak campur tangan Malaysia serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
"Jangan mengharapkan kami menyertai anda menentang pesaing anda dan jangan harap kami menyertai peperangan anda. Kami mengalu-alukan semua pihak yang datang untuk membantu membina rantau yang stabil, makmur, terbuka dan saling berhubungan.Kami akan menolak semua yang datang untuk menguasai atau membahagikan rantau kami menjadi kem-kem perang," katanya.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan peringatan keras kepada semua bahawa perpaduan negara adalah merupakan asas keselamatan nasional.
Dr Mahathir berkata, di Yaman perbezaan dalam kalangan penduduk setempat telah mencetuskan perang saudara dan ini kemudiannya dieksploitasi oleh kuasa luar untuk tujuan mereka sendiri."Sungguhpun Malaysia bernasib baik kerana mempunyai asas perpaduan negara yang kukuh, kita tidak boleh memandang ringan apa sahaja yang berlaku. Kita mesti terus berusaha keras untuk mengatasi perbezaan kaum dan agama dan membina negara yang kuat dan bersatu yang menghormati dan toleran terhadap kepelbagaian dan perbezaan," katanya.
Dr Mahathir berkata, ini adalah janji kerajaan PH kepada rakyat dan kerajaan PH akan berusaha sebaik mungkin untuk itu. - Bernama