Bersih 2.0 lancar Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Iklan
Thomas

SHAH ALAM – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada Isnin melancarkan satu Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat: Pecat atau Kekal? bagi mereka yang lompat parti.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara itu antara undang-undang yang diusulkan oleh pihaknya bagi menangani isu lompat parti atau lompat gabungan.

Iklan
Iklan

"Mekanisme Pilihan Raya Pecat membenarkan pengundi membuang wakil rakyat yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas sebelum PRU seterusnya jika tidak bersetuju dengan tindakan wakil rakyat tersebut.

"Ini akan benar-benar memperkasakan pengundi untuk mempertanggungjawabkan wakil rakyat mereka sepanjang penggal berbanding terpaksa menunggu setiap lima tahun sekali untuk mengundi,” katanya ketika Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat secara maya pada Isnin.

Iklan

Simulasi dilancarkan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Turut serta pada pelancaran itu ialah Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Iklan

Mengulas lanjut, Thomas menjelaskan, simulasi itu dilakukan menerusi sebuah sistem e-voting yang kukuh, selamat, mudah digunakan dan boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia.

"Saya percaya ini pertama kali Malaysia berpeluang menggunakan sistem e-voting. Untuk mengambil bahagian pengundi perlul berdaftar sebagai pemilih pada PRU14 dan merupakan pengundi di kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, Bersih 2.0 akan bertindak sebagai Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) dan menawarkan untuk mengendalikan Simulasi Pilihan Raya Pecat di kawasan wakil rakyat yang melompat parti.

"Minimum tiga peratus pengundi yang berdaftar di kawasan tersebut perlu menandatangani petisyen dalam talian untuk simulasi ini dilaksanakan di kawasan mereka.

"Setelah Bersih 2.0 mengesahkan tiga peratus pengundi atas talian tersebut adalah pemilih berdaftar, simulasi pilihan raya akan dibuka secara atas talian.

"Sekurang-kurangnya 10 peratus pengundi berdaftar daripada kawasan tersebut perlu menyertai dan undi ‘Ya’ perlu melebihi undi ‘Tidak’ sebelum wakil rakyat yang disasarkan itu dianggap sebagai dipecat,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun Simulasi Pilihan Raya Pecat ini tidak menentukan wakil rakyat yang berpaling tadah itu kekal atau dipecat, tetapi ia sebagai satu langkah ke arah untuk digubal sebagai satu undang-undang di Malaysia.