Simulasi pilihan raya beri ketakutan kepada ahli politik

Iklan
Hussamuddin

SHAH ALAM - Inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 yang melancarkan Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat harus disokong oleh semua pihak, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Beliau menyifatkan simulasi berkenaan dapat memberi satu ‘fear factor’ atau faktor ketakutan baharu kepada kebanyakan ahli politik.

Iklan
Iklan

"Bukan semua yang tidak takut kepada Tuhan. Jadi sekurang-kurangnya dia takut dengan simulasi ini,” katanya yang turut serta dalam pelancaran simulasi berkenaan secara maya pada Isnin.

Bersih 2.0 pada Isnin melancarkan 'Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat: Pecat atau Kekal?'

Iklan

Simulasi tersebut adalah mekanisme membolehkan pengundi membuat petisyen pilihan raya di pertengahan penggal untuk menyingkirkan atau memecat wakil rakyat dari kawasan mereka sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi pemimpin itu.

Kempen simulasi itu juga diadakan selepas berlaku tindakan wakil rakyat melompat parti.

Iklan

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, beliau turut melihat apa-apa sahaja perkara di Malaysia mestilah terdapat pembabitan majoriti Melayu sekiranya mahu berjaya.

"Jadi, (untuk) kita bergerak ke depan ini, bagaimana untuk meyakinkan pengundi-pengundi Melayu (bahawa) ini penting untuk mereka.

"Itu yang saya rasakan kerana sekarang saya tengok kebanyakan program reformasi selalunya dilihat sangat elitis.

"Jadi, bagaimana Bersih 2.0 dan pasukan boleh memindah atau boleh menurunkan imej elitis itu kerana rata-rata orang Melayu mahukan perubahan. Rata-rata orang Melayu telah letih dengan keadaan sekarang,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersih 2.0 lancar Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Tambah Hussamuddin, apa yang orang Melayu mahukan adalah jalan lebih baik daripada sekarang.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bahawa satu usaha perlu untuk meyakinkan ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin Melayu untuk menerima kaedah berkenaan.

Sementara itu, mengulas isu sama, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula menyifatkan inisiatif Bersih 2.0 itu merupakan satu usaha yang baik.

"Kita tidak perlu tunggu kerajaan untuk membuat perkara ini. Inilah konotasi demokrasi yang sebenar untuk memberi pemberdayaan kepada rakyat (kerana) yang datang daripada rakyat sendiri dan untuk rakyat,” katanya.