Isu Parlimen: Pemuda UMNO Kedah gesa Muhyiddin tidak beri alasan

Iklan
Mohamad Fadzil Zolkipli

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan dengan jelas tarikh persidangan Parlimen dan tidak memberikan pelbagai alasan menjengkelkan.

Ketuanya, Mohamad Fadzil Zolkipli berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen yang diumumkan Muhyiddin semalam (Ahad) adalah antara siri alasan demi alasan diberikan oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya tidak mahu lagi mendengar alasan Parlimen masih tidak boleh bersidang dan mahukan penyelesaian muktamad.

"Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Parlimen bersidang segera. Segera yang dimaksudkan adalah dalam jangka masa terdekat ini, bukannya Oktober seperti perancangan kerajaan,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Isnin.

Iklan

Mohamad Fadzil berkata, kerajaan harus menyatakan komitmen bilakah ahli Dewan Rakyat dapat kembali berbahas menyuarakan permasalahan rakyat, kerana tiada perundangan menghalang Parlimen untuk bersidang dalam tempoh darurat.

"Perdana Menteri harus menyakinkan rakyat kerajaan pimpinannya tidak menyanggah titah Seri Paduka Baginda dan jujur dalam mentadbir kerajaan.

Iklan

"Suara wakil rakyat adalah suara rakyat. Apabila Parlimen tidak bersidang menjadikan suara rakyat bisu. Membisukan suara rakyat adalah lambang kerajaan lemah. Sejarah membuktikan apabila suara rakyat dibisukan mereka akan bangkit dengan keras,” katanya.

Mohamad Fadzil berkata, Pemuda UMNO Kedah turut senada dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu kerajaan mengambil tindakan segera merealisasikan pembukaan Parlimen.

"Pemuda UMNO Kedah juga bersetuju dengan desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi notis 14 hari kepada kerajaan supaya mengadakan sidang Dewan Rakyat.

"Kami menyokong sebarang tindakan susulan UMNO sekiranya kerajaan gagal memanggil Parlimen bersidang segera. Ini termasuk menamatkan sebarang kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menurutnya, UMNO harus lebih tegas dan segera mengambil tindakan untuk mengkaji semula sokongan kepada kerajaan sekiranya PN masih berdolak-dalih.

"Pelbagai isu gagal dibahaskan terutama berkaitan bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) untuk rakyat yang terkesan. Kami menerima pelbagai rungutan daripada golongan terkesan, rakyat melihat PKP 3.0 ini terpaksa dilakukan akibat kegagalan kerajaan mengawal pandemik dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang bercelaru malah keputusan dasar ‘flip flop’ menyebabkan pandemik gagal ditangani,” katanya.

Tambah Mohamad Fadzil, rakyat tidak diberikan bantuan setimpal dengan situasi terkini yang dilihat lebih serius berbanding PKP 2.0 dan PKP 1.0.

"Semakin banyak perniagaan gulung tikar, pengangguran pula meningkat. Bantuan I-sinar dan moratorium bank kali ini dilihat sepi walaupun ia sebenarnya memberi kelegaan kepada rakyat. Sekiranya bantuan disalurkan tidak akan merugikan kantung kerajaan,” katanya.