SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Khairil Nizam berkata, antara cadangan tersebut, menyediakan peruntukan bantuan tambahan segera kepada pelajar dan keluarga B40 seperti bantuan tablet dan makanan asas.
"Selain itu, wujudkan satu program untuk memberi kefahaman kepada ibu bapa agar mereka boleh terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan proses PdPR anak-anak mereka.
"Mewujudkan program motivasi secara dalam talian mengenai kecemerlangan akademik atau kepimpinan untuk para pelajar agar psikologi mereka dapat diperkasa ketika berada di rumah melalui proses PdPR,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Tambah Khairil Nizam, pengumuman KPM membuka pengambilan guru secara besar-besaran amat melegakan bagi akan membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran khusus graduan aliran pendidikan.
Menurutnya, masalah kekurangan guru selama ini akhirnya mempunyai penyelesaian kerana banyak aduan daripada guru yang terpaksa membuat kerja lebih masa dan di luar skop tugasan.
"Kita dimaklumkan bahawa negeri-negeri yang mempunyai jumlah kekosongan guru tertinggi adalah negeri Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
"Saya harap lebih ramai anak Sabah dan Sarawak dapat mengisi kekosongan di negeri mereka agar guru-guru daripada Semenanjung yang masih bertugas di sana dapat dipercepatkan proses mereka untuk berpindah melalui sistem e-GTukar,” ujarnya.