BANGKOK - Thailand mengambil sikap berkecuali daripada mengundi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unga) mengenai ketetapan berhubung situasi di Myanmar pada 18 Jun, kerana beranggapan ia tidak mengambil kira aspek sejarah dan keadaan sebenar.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata, ia mungkin mencetuskan kesan sebaliknya ke arah usaha mencari penyelesaian aman di negara itu.
"Sebagai negara yang berkongsi sempadan sejauh 2,400 kilometer selain hubungan pelbagai dimensi dengan Myanmar, Thailand tidak berada pada kedudukan selesa untuk memisahkan diri dengan Myanmar seperti yang dinikmati banyak negara lain.
"Apa yang berlaku di Myanmar hari ini mempunyai kesan langsung aspek keselamatan terhadap Thailand di kemudian hari,” katanya yang dipetik akhbar Bangkok Post.
Pada Jumaat, resolusi mengenai situasi di Myanmar menerima 119 undi menyokong, satu menentang dan 36 berkecuali termasuk China, India, Rusia, Thailand, dan Laos.
Resolusi itu meminta keganasan ditamatkan serta pembebasan segera pemimpin politik yang ditahan.
Ia juga meminta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang dicapai pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April, dan keperluan mendesak kerjasama antara semua pihak yang berkepentingan di Myanmar dengan Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dan ASEAN secara keseluruhan.
Malaysia menyokong resolusi tersebut seiring dengan posisinya untuk terus terlibat secara konstruktif dalam menyumbang kepada resolusi damai dan mengembalikan situasi normal di Myanmar.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia alu-alukan resolusi UNGA mengenai Myanmar
Tanee berkata, semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa harus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menamatkan konflik.
Sementara itu, Reuters melaporkan, India turut mengambil pendirian berkecuali kerana menganggap pandangannya tidak diambil kira dalam draf resolusi dan pendekatan ‘perundingan dan konstruktif’ membabitkan negara jiran Myanmar penting kerana masyarakat antarabangsa berusaha untuk mencari penyelesaian aman berhubung usaha itu.
Tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, dengan mendakwa kemenangan partinya pada pilihan raya November 2020 disebabkan penipuan.
Tindakan menggulingkan kerajaan mencetuskan kebangkitan rakyat di seluruh negara, dengan lebih 845 orang terbunuh berikutan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan, menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik. - Bernama