KUALA LUMPUR - Pasukan khas di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ditempatkan di projek perumahan mampu milik untuk mengkaji pengurusan perumahan tersebut termasuk kutipan caj penyenggaraan mereka.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, anggota pasukan itu akan diberikan latihan untuk memperkasa mereka dan membolehkan mereka memajukan diri.
"Pengurusan bagi hartanah ini adalah penting kerana jika kita bercakap mengenai golongan B40 (40 peratus kumpulan isi rumah berpendapatan rendah), kategori ini melibatkan mereka yang kurang berkemampuan.
"Jadi mereka tidak mampu membayar caj penyenggaraan yang tinggi dan mengambil masa untuk menguruskan rumah itu," kata Zuraida dalam program bual bicara Property Hot Seat terbitan Bernama News Channel (BNC).
Program Property Hot Seat yang disiarkan di BNC (saluran Astro 502) pada setiap Khamis 8.30 malam dengan siaran ulangan pada Sabtu, 2.30 petang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai dasar-dasar penting, isu serta kesan ke atas industri hartanah.
Beliau berkata penubuhan pasukan khas itu adalah sejajar dengan Dasar Komuniti Negara (DKN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
DKN, inisiatif di bawah Dasar Perumahan Negara 2.0 diwujudkan KPKT bertujuan untuk menambah baik kualiti hidup penduduk Projek Perumahan Rakyat dengan sokongan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan EdgeProp.my.
Beliau berkata Dasar Perumahan Negara yang baharu itu mempunyai lima bidang tumpuan, 16 strategi dan 57 pelan tindakan.
Zuraida berkata beliau akan terus memberi penekanan untuk membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri dan meningkatkan taraf hidup mereka dalam tempoh lima tahun ini dan ia dijangka mampu dilaksanakan menerusi DKN. - Bernama