SHAH ALAM - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membuat keputusan yang selari dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sekiranya tidak mendapat respons memuaskan daripada kerajaan berhubung tuntutan pembukaan sidang Parlimen.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sekiranya timbul kenaikan suhu politik atau krisis perlembagaan, ia berpunca daripada pendirian kepimpinan kerajaan yang masih berkeras.
Beliau berkata, UMNO sebagai parti yang mendukung sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen tidak boleh menerima dolak-dalik kerajaan dalam hal membuka persidangan Parlimen.
"Apabila tindakan kerajaan seakan-akan masih tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, UMNO tidak mampu berdiam diri.
"Sidang Parlimen digesa untuk memastikan kesemua wakil dipilih oleh rakyat dapat melaksanakan tugas semak imbang dalam menangani pengurusan pandemik serta masalah ekonomi negara yang kritikal pada ketika ini.
"Aturan dan urusan persidangan adalah di bawah kawalan selia kerajaan. Jadi tiada sebab untuk takut berhadapan dengan pelbagai soalan dan perbahasan wakil rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Isnin.
Pada Isnin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.