KEMAMAN - Ketangkasan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mematahkan cubaan dua tekong dan lapan awak-awak warga Vietnam untuk menenggelamkan dua bot dinaiki mereka bagi melupuskan bahan bukti selepas didapati menceroboh perairan negara.
Dua bot terbabit ditahan kapal TLDM, KD Terengganu ketika sedang menangkap ikan secara haram kira-kira 21 batu nautika timur laut dari Pulau Tioman pada jam 11 malam semalam sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kapten Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata, kapal TLDM tersebut sedang menjalankan rondaan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sebelum terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam terbabit.
"Setelah siasatan dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia didapati dua tekong dan lapan nelayan berusia antara 19 hingga 55 tahun berada di atas kedua-dua bot tersebut dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa hasil laut hampir setengah tan yang dipercayai ditangkap di perairan Malaysia.
"Hasil pemeriksaan dan siasatan lanjut juga mendapati mereka cuba membuka injap air dalam bilik enjin bot berkenaan untuk menenggelamkan bot-bot terbabit tetapi cubaan itu digagalkan pegawai dan anggota TLDM yang pantas menahan kedua-dua bot tersebut," katanya pada sidang media di jeti Zon Maritim Kemaman, di sini, hari ini.
Tambahnya beliau, hasil laut dan barang yang dirampas termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM2 juta.
Katanya, kedua-dua bot itu mempunyai akuarium agar dapat membawa pulang ikan dan hasil laut seperti ikan yu dan udang karang dalam keadaan masih hidup kerana dipercayai nilainya di pasaran lebih tinggi di Vietnam.
Menurutnya, kesemua nelayan berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.