Muhammad mahu jadi seperti Shukor Adan

Iklan
Muhammad akui Muhammad Shukor merupakan idola dalam karier bola sepaknya.

TONGGAK pertahanan Terengganu FC (TFC) yang semakin meningkat naik, Muhammad Mohd Faudzi mengakui pemain veteran Muhammad Shukor Adan merupakan idola dalam karier bola sepaknya.

Muhammad sangat mengagumi kudrat dimiliki Shukor yang masih mampu beraksi bersama Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super musim ini walaupun telah berusia 41 tahun, selain menyifatkan personaliti bekas pemain kebangsaan itu jarang dimiliki oleh mana-mana pemain.

Iklan
Iklan

Katanya, pengalamannya pernah berlatih bersama Shukor sewaktu berusia 19 tahun ketika mewakili Felda United FC pada musim 2015 menjadi antara kenangan manis yang tidak pernah dilupakan sepanjang kariernya.

"Saya sangat suka tengok cara Shukor dan kalau boleh mahu mengikut jejak langkah dia sebagai seorang pemain pertahanan tengah yang hebat serta ada karakter tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang.

Iklan

"Ketika di Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi saya sudah meminati Shukor dan selepas saya mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden Felda pada 2015, saya berpeluang berlatih bersama Shukor dalam pasukan utama yang ketika itu dilatih Irfan Bakti Abu Salim,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Isnin.

Muhammad yang lebih dikenali Amad dalam kalangan rakan sepasukannya menjadi antara watak penting di kubu TFC musim ini apabila jurulatih, Mohd Nafuzi Mohd Zain sering menggandingkannya bersama pemain import, Carli de Murga.

Iklan

Pemain berusia 25 tahun itu mula diturunkan sejak perlawanan keenam Liga Super ketika berdepan Petaling Jaya (PJ) City FC dan tidak pernah terlepas peluang berada dalam kesebelasan utama sejak itu.

Aksi paling cemerlangnya setakat ini ialah semasa membantu pasukannya menumpaskan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 April lepas.

Sehubungan itu, Muhammad berazam mengekalkan tempat di dalam kesebelasan utama TFC bagi perlawanan seterusnya walaupun menyedari persaingan untuk diturunkan pada setiap perlawanan amat sengit.

Mengenai aksi TFC musim ini, Muhammad mengharapkan tahun 2021 akan membawa tuah kepada pasukan Pantai Timur itu dengan menjuarai Liga Super sekali gus menamatkan penantian lebih dua dekad tanpa sebarang kejuaraan liga selepas kali terakhir menjulang Liga Perdana 2 pada 1998.

Katanya, skuad TFC musim ini antara yang terbaik pernah diwakilinya malah keserasian bersama pemain muda menjadi pemangkin di sebalik kemampuan mereka menduduki tangga kedua Liga Super dengan 27 mata setakat ini.

"Rugi rasanya kalau tiada piala untuk TFC musim ini kerana komitmen diberikan semua rakan seperti pemain muda cukup tinggi dalam setiap perlawanan,” katanya. - Bernama