65 pemandu teksi terima baucar minyak percuma

Iklan
Megat D Shahriman (kanan) menyerahkan bantuan kupon minyak percuma dan beras kepada pemandu teksi di Stesen Minyak Petron, Jalan Putra, Alor Setar pada Isnin.

ALOR SETAR - Seramai 65 pemandu teksi di sini yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menerima baucar minyak percuma dan sekampit beras bagi meringankan beban mereka.

Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Usahawan Negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya menyumbangkan baucar minyak bernilai RM40 kepada pemandu teksi bagi meringankan beban mereka disebabkan oleh kekurangan penumpang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pandemik Covid-19 jelas memberikan kesan bukan sahaja kepada golongan tersebut tetapi juga kepada ibu tunggal, keluarga susah dan banyak lagi.

"Kami bukan sahaja memberikan bantuan kepada pemandu teksi tetapi juga kepada golongan sasaran lain yang terkesan akibat PKP ini. Jumlah keseluruhan bantuan melibatkan anggaran sebanyak RM100,000.

Iklan

"Kami bukan sahaja pergi ke Kedah tetapi juga di negeri-negeri lain. Sehingga kini, kami telah pergi ke lima negeri termasuk Kedah," katanya selepas menyampaikan baucar minyak kepada pemandu teksi di Stesen Minyak Petron, Jalan Putra di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Megat D Shahriman berkata, sekiranya PKP 3.0 terus dilanjutkan selepas 28 Jun ini, pihaknya akan meneruskan bantuan seperti itu untuk membantu penduduk yang terjejas.

Iklan

Sementara itu, seorang pemandu teksi, Che Azmi Ali, 80, mengakui pendapatannya sangat terjejas dan sukar mendapatkan walau seorang penumpang dalam tempoh PKP ini.

Menurutnya, setiap hari, dia terpaksa mengisi minyak kereta dengan menggunakan wang simpanannya.

"Dalam tiga hari mungkin akan ada seorang penumpang yang mahu keluar beli barang keperluan, itupun kena tengok nasib juga.

"Kalau dulu banyak pelajar yang mahu ke Universiti Utara Malaysia (UUM) tetapi sekarang langsung tiada. Di sekitar bandar Alor Setar pun susah nak dapat penumpang sekarang," katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Mohd Sofi Abdul Hamid, 65, berharap pandemik Covid-19 akan segera berlalu pergi.

"Saya kerja membawa teksi sudah hampir 10 tahun dan kali ini saya akui rasa perit. Kadang-kadang pulang ke rumah langsung tidak membawa apa-apa keuntungan," ujarnya.