SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Pembangkang menganggap secara moral kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang kerana desakan terbaru yang dilakukan oleh UMNO.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, secara dasarnya kerajaan PN sudah tumbang kerana mereka tidak lagi dapat bersama dalam satu gabungan.
"Sebagai contoh kalau seorang suami sudah melafazkan..."sebulan lagi engkau ini akan aku ceraikan". Dalam ikatan suami isteri itu walaupun 14 hari atau sebulan lagi tetapi sebetulnya keluarga itu sudah hancur.
"Demikian juga kerajaan, apabila majoriti yang membentuk mereka di Parlimen itu diganggu oleh UMNO dan telah dua kali mengisytiharkan diri (menarik diri), bagi saya kerajaan PN sudah tiada sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
UMNO berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu supaya sidang Parlimen dilaksanakan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin
'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menambah, kerajaan PN kini hanyalah diselamatkan oleh darurat dan sepatutnya menjunjung titah Seri Paduka Baginda dengan menyegerakan pembukaan Parlimen.
Mengulas isu sama, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berpendapat mesej yang disampaikan oleh Ahmad Zahid itu petanda serius dan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya tidak berlengah untuk membuka Parlimen.
"Bila kita teliti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), terdapat lapan daripada 13 DUN yang menyatakan sama ada mereka telah ada tarikh bersidang atau memohon perkenan mengadakan persidangan. Lapan daripada 13 maksudnya sudah majoriti.
"DUN ini tidak menyatakan sama ada mereka perlu menubuhkan jawatankuasa atau tunggu bulan Oktober atau kes (Covid-19). Kalau di peringkat DUN pun sudah bersedia untuk mengadakan sidang, apatah lagi di peringkat Parlimen,” sindirnya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menambah, sekiranya isu kesihatan atau keselamatan menjadi isu, ahli Parlimen boleh memakai peralatan pelindungan diri (PPE) semasa persidangan dan mereka boleh hadir.