‘Di Malaysia saya dapat belajar dan kini jadi pengajar'

Iklan
Suasana dalam kelas mengaji yang diikuti kanak-kanak pelarian Rohingya.

KLANG - Hidupnya serba sederhana, namun Rukiah Mohd Ali jauh lebih bernasib baik daripada ribuan lagi warga Rohingya yang berdepan masa depan kelam sama ada di Myanmar mahu pun Bangladesh.

Berstatus pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagaimanapun Rukiah, 31, dilahirkan dan dibesarkan di bumi bertuah, Malaysia.

Iklan
Iklan

Ibu bapanya menjejakkan kaki ke negara ini lebih 40 tahun lalu dan Rukiah yang bekerja sebagai tenaga pengajar di ElShaddai Refugee Learning Centre (ERLC) kini menetap di Kapar, Klang bersama ibunya.

Berkongsi kisah sewaktu kecil, Rukiah berkata, dia tidak pernah tahu erti pelarian jauh sekali merasakan dirinya tergolong dalam kelompok itu.

Iklan

"Dulu saya memang beranggapan diri saya orang Malaysia tambahan lagi saya boleh berbahasa Tamil. Malah seingat saya, jiran-jiran di kampung juga tidak pernah tahu kami bukan berasal dari sini,” kata Rukiah kepada Sinar Harian.

Rukiah membantu Madrasah Rahmaniyah bagi kanak-kanak pelarian Rohingya belajar ilmu agama.

Tambah Rukiah, sejak kecil dia minat belajar malah ketika berumur enam tahun, dia sering mengikut jirannya yang juga seorang guru tadika ke tempat kerja.

Iklan

"Saya akan pergi ke tadika dan melihatnya mengajar kemudian pulang bersama-sama. Ketika berumur lapan tahun pula, guru tadika tersebut memperkenalkan saya kepada seorang rakannya yang merupakan seorang guru sekolah rendah.

"Guru tersebut sering membawa pulang kertas latihan untuk saya buat di rumah. Melihatkan prestasi saya yang baik, saya dibawa ke sekolah rendah tempatnya mengajar dan akhirnya berpeluang mengikuti kelas di sana.

"Saya bersekolah sehingga darjah enam tetapi tidak dapat meneruskan persekolahan di peringkat menengah kerana tidak mempunyai dokumentasi yang sah,” ujarnya lagi.

Katanya, disebabkan hal itu dia berasa amat kecewa malah turut merajuk dengan ibu bapanya kerana tidak dapat pergi ke sekolah.

"Akhirnya, mereka membawa saya berpindah dari Banting ke Klang kerana tidak sanggup melihat saya bersedih setiap kali nampak rakan-rakan lain pergi ke sekolah,” katanya.

Suasana dalam kelas mengaji yang diikuti kanak-kanak pelarian Rohingya.

Menurut Rukiah, setelah berpindah dia menemui banyak keluarga pelarian sepertinya dan ketika itu dia bersyukur kerana pernah berpeluang untuk bersekolah.

"Saya melihat kebanyakan anak pelarian ini kurang mempunyai disiplin dan ramai tidak pandai membaca.

"Ketika berusia 16 tahun, akhirnya saya beranikan diri mengajar tuisyen antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik kepada anak-anak pelarian di kawasan sekitar rumah dengan harapan sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

"Sememangnya saya amat berterima kasih kepada Malaysia kerana di sini saya berpeluang belajar dan kini mengajar,” katanya lagi.

Dalam pada kesibukan mengajar di ERLC yang menawarkan pengajian akademik kepada kanak-kanak berstatus pelarian dari pelbagai negara seperti Myanmar, Sri Lanka dan Kemboja, Rukiah masih sempat meluangkan masa serta tenaga membantu di Madrasah Rahmaniyah, Klang bagi kanak-kanak pelarian Rohingya mendalami ilmu agama.