SHAH ALAM- Ketiga-tiga negara pengeluar terbesar minyak kelapa sawit iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand perlu menjalinkan kerjasama erat bagi memastikan survival produk itu berpanjangan di peringkat global.
Pengerusi Pergabungan Persatuan Peladang, Datuk Daud Amatzin berkata,negara pengeluar minyak sawit tidak akan mampu secara sendirian berdepan pengeluar produk minyak sayuran, yang kini menguasai pasaran dunia."Indonesia, Malaysia dan Thailand jika digabungkan pengeluaran minyak kelapa sawitnya 87 peratus daripada pengeluar dunia dan sebab itulah, kita banyak musuh iaitu 16 minyak sayuran terdiri daripada soya, matahari, kacang, jagung dan sebagainya.
Oleh kerana kita sudah jadi pengeluar minyak makan terbesar, saingan kita yang digelar musuh minyak sawit memburukkan kebaikan dan kelebihan minyak sawit.
Kejayaan tiga negara ini berdasarkan faktor seperti geografi, dengan ekonomi dan kehebatan ilmu, maka untuk menangani masalah musuh ini, kita perlu gunakan pendekatan sains, bukannya emosi.
Kalau kita gabungkan populasi dan demografi tiga negara ini tidak besar dan kita yang lawan semua pengeluar minyak makan lain ini adalah negara maju, sedangkan kita sedang membangun.
Banyak diskriminasi kita terima hari ini, mereka gunakan propaganda. Kalau kita lihat di pasaraya, sudah mula produk-produk dikeluarkan negara maju ini cuba memburukkan produk keluaran kita, sebagai contoh mengeluarkan label anti kelapa sawit di produk mereka.
Dari kanan: Daud, Krishna, Jalani dan moderator, Fedtri Yahya pada Wacana Sinar Harian, semalam.