Perlembagaan kita masih berfungsi

Iklan

"TIADA keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021" dan Parlimen perlu"segera bersidang".

Ini merupakan kenyataan yang tegas dan jelas oleh Majlis Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong, seperti dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari Rabu (16 Jun 2021) masing-masing oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Iklan
Iklan

Kenyataan media ini susulan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu yang berlangsung selama lima jam pada tengah hari tersebut.

Media sosial sedang kecoh manakala ahli politik pula sedang merangka maklum balas mereka terhadap titah baginda sekalian ke arah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Iklan

Kenyataan bersama oleh raja-raja Melayu bukan satu perkara baharu: ketika ketegangan sosial pada tahun 2008, 2010 dan 2017, baginda sekalian telah menyeru rakyat jelata untuk menjunjung kesatuan nasional, Rukun Negara dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Pada tahun 2015, raja-raja Melayu telah melaksanakan tindakan yang amat jarang, iaitu memberikan ulasan tentang satu entiti khusus, 1MDB dengan bertitah,"kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan akan mengakibatkan krisis keyakinan”, menyeru kepada satu penyiasatan menyeluruh terhadap dana kekayaan negara, serta hasil penyiasatan tersebut didedahkan kepada umum.

Iklan

Baginda raja-raja Melayu juga turut menyeru supaya pelbagai institusi seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara, Peguam Negara serta badan kehakiman untuk menjalankan peranan masing-masing mengikut lunas perlembagaan.

Malangnya, kenyataan bersejarah itu telah dilupakan oleh banyak pihak yang mengkritik monarki secara membuta tuli dengan mengatakan bahawa pihak istana mengambil pendekatan berdiam diri berkenaan 1MDB.

Hakikatnya, pihak media yang dikawal oleh kerajaan pada masa itu yang kurang melaporkannya.

Hari ini, atas jasa dan desakan masyarakat sivil serta penggunaan media sosial yang meluas, rakyat Malaysia kini tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menolak cadangan Darurat oleh kerajaan pada bulan Oktober 2020.

Walaupun cadangan Darurat kali kedua oleh Perdana Menteri pada bulan Januari 2021 dipersetujui, seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa ia akan berakhir.

Para peguam perlembagaan yang mempunyai pandangan berbeza sudah tentu akan bekerja keras untuk menegakkan hujah mereka.

Ketika Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan darurat yang pertama, beberapa peguam mengatakan bahawa penolakan tersebut sebagai ‘tidak berperlembagaan’.

Saya telah memuat naik hantaran di akaun Instagram saya tentang Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, memberi penekanan kepada bahagian"jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati”.

Saya ingin menunjukkan kepada mereka sebuah penulisan yang sangat baik (King’s Power and the Constitution, 17 Jun 2021) oleh Profesor Datuk Shad Saleem Faruqi. Beliau menyenaraikan empat alasan darurat merupakan atas kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong: pertama, pindaan tahun 1983 untuk menggantikan ‘Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’ dengan ‘Perdana Menteri berpuas hati’ dimansuhkan pada tahun 1984.

Kedua, penolakan cadangan Darurat pada bulan Oktober 2020 tidak dicabar di mahkamah lalu menetapkan duluan ‘pihak istana sebagai satu semak dan imbang’.

Ketiga, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 oleh Ordinan Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang kewujudan berterusan Darurat menimbulkan persoalan"mengapa perlukan jawatankuasa ini jika Agong terikat kepada nasihat kabinet?”, persoalan yang turut sama ditimbulkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman; dan keempat, nasihat daripada Perdana Menteri hanya sah jika Perdana Menteri mempunyai keabsahan demokrasi di Parlimen.

Perbualan yang sedang berlaku antara Ahli Parlimen ketika ini tanpa ragu masih mengandungi unsur tawar-menawar yang telah menjengkelkan rakyat Malaysia: tetapi mungkin titah yang baharu ini yang menzahirkan kehendak rakyat, akan membuka jalan ke arah susunan yang berwawasan dan berkesan, sama ada dalam bentuk kerajaan perpaduan atau persetujuan keyakinan dan pembekalan berserta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersidang.

Perlu diperhatikan bahawa tidak disebut langsung berkenaan kemungkinan Mageran (Majlis Gerakan Negara) 2.0 walaupun cadangan Tun Dr Mahathir itu membayangkan Parlimen berfungsi di samping Mageran (tidak seperti tahun 1969).

Keraian peristiwa bersejarah turut berlaku pada hari Rabu. Pertama adalah sambutan ulang tahun ke-806 Hari Magna Carta, iaitu peristiwa para pembesar Inggeris mengehadkan kuasa Raja England.

Ironinya sekarang ini, raja-raja Melayu yang sedang menjelaskan kuasa pihak kerajaan.

Kedua adalah hal yang sedang berlaku ini mengingatkan kita kepada keadaan raja-raja Melayu bersama rakyat berganding bahu menamatkan Malayan Union dengan cara menolak tandatangan yang diturunkan ketika berada di bawah tekanan selepas Perang Dunia Kedua dan akhirnya memulaukan majlis pengisytiharannya.

Akhirnya, situasi ini mengingatkan kepada kontrak legenda (wa’adat) antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun; rakyat akan menumpahkan taat setia kepada raja selagi raja melindungi rakyat.

Dalam lingkungan Perlembagaan Persekutan yang kita ada, tindakan yang diambil baru-baru ini adalah serata dengan tanggungjawab itu.

Walaupun ada yang mengatakan bahawa hal ini sesuatu yang ‘memalukan’ apabila istana menjadi pihak yang mengembalikan demokrasi berparlimen, saya merasakan kita perlu berbangga dengannya.

Bahkan, beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memulakan persiapan untuk bersidang setelah kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu tersebut dikeluarkan.

Perlembagaan kita masih berfungsi. Rakyat akan menghakimi pihak yang melanggar wa’adat.

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS