JOHOR BAHRU - Keputusan Biro Politik UMNO yang mendesak kerajaan mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari membuktikan parti itu menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kerajaan mengadakan sidang Parlimen pada kadar segera.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO yang diadakan secara maya dan turut disertai Pengerusi-pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menunjukkan pendirian serius parti itu terhadap titah Seri Paduka Baginda.
Jelas beliau, keputusan itu juga selaras dengan Perlembagaan UMNO yang meletakkan kedaulatan sistem beraja dan kepentingan membela orang Melayu secara asas utama perjuangan parti.
"Bagi saya, apabila Biro Politik UMNO mengambil keputusan untuk tetap mengadakan mesyuaratnya secara maya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 membuktikan UMNO bertindak pantas dan meletakkan kedaulatan titah Yang di-Pertuan Agong serta kepentingan rakyat yang semakin kematu dengan pandemik Covid-19 sebagai keutamaan.
"Apabila Seri Paduka Baginda menzahirkan cadangan supaya sidang Parlimen patut disegerakan, bermakna Seri Paduka Baginda meletakkan isu keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara paling atas. Apatah lagi, cadangan berkenaan diputuskan selepas baginda merujuk kepada pihak berautoriti dalam bidang masing-masing seperti Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera.
"UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas perjuangan dan bukan seperti Bersatu atau Pas yang hanya selalu beretorik dalam memperjuangkan isu kedaulatan institusi raja-raja dan agenda perjuangan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.
Nur Jazlan juga mempersoalkan sikap berdolak-dalik Kerajaan Perikatan Nasional dalam memberikan respons positif terhadap titah Seri Paduka Baginda itu sedangkan umum mengetahui situasi semasa negara berdepan wabak Covid-19 ini kian meruncing.
Katanya, kerajaan PN sepatutnya mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin supaya wakil-wakil rakyat dapat berkongsi cadangan dan idea untuk ke arah memulihkan segera isu kesihatan negara dan melandaikan lekuk jangkitan kes Covid-19.
"Muhyiddin nak tunggu apa lagi? Buat segera sidang Parlimen supaya wakil rakyat boleh bantu beri idea kepada kerajaan bagaimana untuk membendung kes Covid-19 pada kadar segera.
"Sudah lima bulan Kerajaan PN diberikan peluang dan ruang melalui Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk memulihkan negara daripada wabak itu, tetapi nampaknya mereka gagal. Jadi, biarlah medan Parlimen pula digunakan untuk menyelesaikan kemelut ini bersama.
"Kerajaan PN janganlah nak beri macam-macam alasan lagi dan mereka sepatutnya menjunjung titah tuanku tanpa banyak soal serta jangan biadap,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, kerajaan PN yang ada hari ini hanya sebuah kerajaan krisis yang diberi mandat untuk menangani serta menyelesaikan pandemik Covid-19 yang sudah setahun lebih melanda negara.
Beliau berpandangan tempoh maksimum kewujudan sesebuah kerajaan krisis cukup untuk setahun saja dan jika gagal, sepatutnya perlu terus berundur serta menyerahkan pucuk pimpinan kepada mereka yang berkelayakan.
"Wabak Covid-19 melanda negara pada April 2020, bermakna sudah setahun lebih kerajaan PN memerintah, namun mereka gagal memulihkan keadaan malah jadi lebih teruk. Jadi, saya berpendapat hayat setahun lebih PN sebagai kerajaan krisis sudah tamat dan mereka perlu undur.
"Buatlah peralihan atau penyerahan kuasa dengan cara tersusun mengikut Perlembagaan negara supaya pucuk pimpinan kerajaan baharu berpeluang untuk memulihkan negara pada segera.
"Jangan hanya fikirkan kuasa dan kedudukan sedangkan saban hari nyawa jutaan rakyat Malaysia jadi taruhan,” katanya.