Pekerja teknikal perlu ada sijil diiktiraf

Iklan
Mahfuz

ALOR SETAR - Kementerian Sumber Manusia sedang merangka pelan tindakan bagi mewajibkan pekerja dalam bidang teknikal memiliki sijil kemahiran diiktiraf dalam negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) itu akan menjadikan pekerja kemahiran lebih kompetensi terutama untuk berdepan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu akan dibuat menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai persediaan untuk lima tahun akan datang.

"Semua jenis pekerjaan bersifat teknikal harus miliki sijil kemahiran ini, sekarang masih longgar menyebabkan bidang teknikal sebahagiannya dimonopoli pekerja asing, contohnya sektor ubah suai rumah di kawasan perumahan dikendali pekerja asing yang tidak miliki kemahiran yang diperakui badan profesional,” katanya, selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Raudzah.

Iklan

Mahfuz berkata, syarat baharu ini akan menetapkan agar setiap pekerja memiliki sijil SKM, di mana sektor industri amat menitikberatkan kepada penilaian kemahiran.

"Usaha ini juga antara inisiatif mengurangkan pengambilan pekerja asing dan membolehkan lebih banyak peluang kerja direbut anak tempatan,” katanya.

Iklan
Mahfuz (dua, kanan) ketika merasmikan Surau Raudhatus Sakinah di SK Tunku Raudzah.

Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan berkata, pihaknya akan membentangkan pelan tindakan itu kepada Kabinet sejurus ia lengkap.

"Ini melibatkan kerjasama tujuh kementerian, banyak aspek perlu diperhalusi termasuk pelaksanaan dan bajet,” katanya.

Menurutnya, usaha lain dilakukan bagi melahirkan tenaga mahir dalam negara adalah dengan membenarkan lepasan diploma dan diploma lanjutan bidang kemahiran melanjutkan pengajian ijazah di universiti terpilih, tanpa perlu merujuk kepada kredit mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ini antara usaha perluaskan laluan pendidikan pelajar kemahiran ke tahap lebih tinggi. Pelajar yang kurang cemerlang akademik kini tidak perlu bimbang dipinggirkan susulan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh menjadi pilihan, mereka juga boleh lanjutkan pengajian,” katanya.

Mahfuz berkata, empat universiti bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terlibat ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Pada masa akan datang, lepasan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) boleh melanjutkan pengajian peringkat ijazah selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Malaysia Kelantan dimeterai,” katanya.