BUKIT MERTAJAM - Polis digesa menyiasat individu yang menyuap arak kepada seorang bayi seperti yang tular di laman sosial.
Ketua Pergerakan Anti Arak Murah, David Marshel berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab ini perlu dihentikan dan bayi berkenaan juga perlu dijauhkan daripada individu terbabit.
"Berikutan insiden ini satu laporan polis telah dibuat bagi meminta pihak polis siasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang.
"Perbuatan terkutuk ini harus di hentikan dan bayi ini perlu segera dijauhkan dari lelaki yang tak tanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
David juga berharap agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat segera mengambil tindakan untuk memeriksa dan membuat ujian darah untuk memastikan bayi tersebut tidak terdedah dengan bahaya minuman tersebut.
Terdahulu tular video berdurasi 30 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang menyuap arak kepada bayi.