IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menerusi sayapnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung isu pemberian tanah kerajaan ke atas sebuah syarikat milik seorang pegawai khas Exco Kerajaan Perak.
Setiausaha AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, laporan berhubung isu tersebut telah dibuat memandangkan berlaku keraguan dalam pemberian tanah milik sebuah anak syarikat kerajaan negeri kepada syarikat berkenaan bagi tujuan projek akuakultur di Parit Buntar.
Menurutnya, antara perkara yang menjadi persoalan adalah syarikat tersebut ditubuhkan pada September 2020 dan kemudian diberikan kelulusan membangunkan tanah seluas 18 hektar bagi tujuan akuakultur.
"Laporan ini dibuat bertujuan untuk memohon kepada SPRM supaya menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai perilaku yang penuh dengan unsur kepentingan peribadi dan material pihak berkaitan.
"Dalam pada itu, AMK Perak amat kesal dengan perkara ini. Tatkala negara dilanda pandemik Covid-19, ada pihak yang rakus mengaut kekayaan hasil milik rakyat. Tindakan ini amat keji sekali," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.
Hadir sama membuat laporan tersebut, Ketua AMK Perak, Muhamad Hairul Amir Sabri yang tiba di Pejabat SPRM Perak pada jam 10 pagi dan selesai membuat laporan tersebut dalam tempoh hampir tiga jam.
Mengulas lanjut, Zaim Sidqi berkata, keraguan tersebut juga timbul apabila Exco kerajaan negeri terbabit merupakan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan terbabit.
Katanya, AMK Perak akan terus komited dalam memastikan budaya rasuah seperti itu diperangi habis-habisan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketida dihubungi pemberita mengesahkan menerima laporan tersebut.