Demokrasi, kestabilan politik tidak boleh dicapai menerusi kematian

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, demokrasi dan kestabilan politik di Timur Tengah tidak boleh dicapai dengan kematian rakyat Yemen, Syria, Iraq dan yang lain, dan ia juga tidak boleh dibina di atas sisa runtuhan bandar-bandar yang dibom.

Perdana Menteri berkata, orang yang sinis mempunyai sebab tersendiri untuk membuat kesimpulan bahawa semua perbincangan ke arah penerapan demokrasi atau membina aturan dunia baru dan malahan memerangi keganasan semakin meningkatkan kepalsuan bagi menutup tindakan pencerobohan secara terbuka dan bagi penguasaan mereka ke atas rantau yang kaya dengan sumber.

Iklan
Iklan

"Dan sekiranya kita juga jujur, kita perlu mengakui bahawa semua wang berbilion yang telah dibelanjakan untuk senjata ternyata tidak membawa sebarang penambahbaikan keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

"Malah, Timur Tengah telah mengalami peperangan yang berterusan hampir dua dekad. Jutaan orang terbunuh, cedera atau terpaksa melarikan diri dari tempat tinggal mereka.

Iklan

"Keseluruhan bandar terbiar hancur dengan infrastruktur penting dimusnahkan. Kita hanya perlu mengkaji landskap Iraq, Libya, Syria dan kini Yemen untuk melihat realiti yang menggerunkan itu semua," katanya dalam ucapan perasmian Simposium dan Pameran Foto ‘Stand With Yemen’ di sini hari ini.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Iklan

Dr Mahathir berkata, di Timur Tengah, perpecahan berlaku dalam ketidakstabilan kerana negara-negara Islam terlalu cepat untuk menyerang antara satu sama lain daripada berusaha untuk menyelesaikan perbezaan secara aman sebagai bersaudara dan penganut yang mempunyai kepercayaan yang sama.

Beliau juga mempersoalkan, antaranya, perasaan persaudaraan sesama Islam, erti kemasyarakatan sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW, komitmen kepada ummah yang sesetengahnya sanggup bekerjasama dengan Israel bagi menghancurkan negara Islam yang lain.

Mengenai Yemen, Dr Mahathir berkata Malaysia menyeru semua puak di Yemen yang terlibat dalam konflik berkenaan supaya memberi peluang kepada keamanan dan membenarkan perjanjian perdamaian yang diusahakan di Stockholm baru-baru ini mencapai kejayaan.

"Keutamaan harus diberikan bagi menamatkan segera pergaduhan dan pengeboman supaya orang awam boleh menerima bantuan makanan dan perubatan. Penduduk Yemen berhak mendapatkannya, keimanan kita dituntut.

"Sekiranya kedua-dua puak Yemen yang terlibat dalam konflik itu memerlukan masa untuk mendapatkan semula kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain, mereka perlu mempertimbangkan dengan segera untuk mengisytiharkan bandar pelabuhan Hodeidah sebagai bandar terbuka di bawah kawalan sementara PBB agar zon selamat dapat diwujudkan untuk menyediakan dengan segera bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan. Sudah tiba masanya untuk dihentikan pembunuhan, sudah tiba masanya untuk bina semula Yemen," katanya.

Dr Mahathir berkata, perang di Yemen kini memasuki tahun keempat dengan penderitaan yang ditanggung melangkaui imaginasi di mana orang awam yang tidak berdosa terbunuh manakala berjuta-juta lagi dipindahkan dan terjejas akibat kebuluran dan penyakit.

Beliau berkata apa yang bermula sebagai perang saudara kini menarik kuasa luar yang bersedia untuk berperang melawan warga Yemen bagi memenuhi agenda dan cita-cita masing-masing dan seperti biasa, pedagang ‘kematian’ - pengeluar dan peniaga senjata cepat meraih keuntungan daripada kesengsaraan perang.

"Negara-negara yang menonjolkan diri sebagai benteng demokrasi dan hak asasi manusia telah memarakkan lagi konflik di Yemen dengan penjualan senjata berbilion dollar ke rantau itu, senjata yang kini digunakan untuk mengebom, membunuh, mencacatkan orang awam yang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak. Mereka melakukannya tanpa mempedulikan konvensyen antarabangsa, malah undang-undang mereka sendiri.

Dr Mahathir berkata sebagai manifestasi sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha untuk menangani keperluan kemanusiaan kritikal rakyat Yemen, Malaysia berikrar untuk menyumbang USD100,000 bagi rayuan kemanusiaan untuk Yemen semasa Acara Ikrar Peringkat Tinggi untuk Krisis Kemanusiaan di Yemen yang akan diadakan di Geneva, Switzerland pada 26 Feb. - Bernama