PENJAGA gol Chile, Claudio Bravo menyifatkan keputusan seri 1-1 dilakar La Roja ketika menentang Uruguay dalam aksi peringkat kumpulan Copa America di Arena Pantanal, Cuiaba pada Selasa sebagai sesuatu yang adil.
Malah menurut Bravo, karakter luar biasa dipamerkan anak buah Martin Lasarte sewajarnya diberikan pujian dalam aksi yang cukup mendebarkan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
"Perlawanan berintensi tinggi tambah pula kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kemenangan untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Kami juga tidak dapat memberikan aksi yang terbaik sepanjang tempoh perlawanan berkenaan seperti yang dirancangkan semasa sesi latihan sebelum ini.
"Biarpun begitu secara keseluruhannya, pemain-pemain Chile berjaya menggerakan perlawanan, mencipta peluang, namun penyudah yang tumpul sering menjadi halangan," kata Bravo yang juga kapten La Roja.
Keputusan seri tersebut menyaksikan Chile mencerahkan peluang ke slot kalah mati selepas mengutip lima mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Dalam pada itu, penjaga gol kelab Liga Sepanyol, Real Betis Balompie berusia 38 tahun tersebut memuji kesungguhan dalam kalangan pemain-pemain Uruguay sepanjang perlawanan tersebut.
"Ya, mereka juga mempamerkan permainan yang berkualiti sekaligus menyukarkan barisan penyerang kami memberikan tekanan dalam setiap serangan.
"Lawan lebih berbahaya pada babak kedua, dan berpeluang untuk menutup terus perlawanan ini, namun bahagian pertahanan Chile berjaya mengekang asakan lawan.
"Tapi sekiranya perlawanan berlanjutan, ia akan memberikan masalah kepada pemain-pemain Chile. Secara keseluruhannya, kami banyak belajar mematangkan permainan kami selepas ini," katanya.
Mengenai Paraguay yang akan menjadi lawan seterusnya, Bravo berkata, dia menjangkakan saingan diberikan Paraguay lebih kurang sama seperti menentang Uruguay.
"Aspek fizikal lebih memihak Paraguay, selain mereka memiliki pengendali yang berpengalaman dan dalam kalangan mereka juga mengenali pemain-pemain Chile," katanya.