SHAH ALAM - Laporan mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pembelian 500 unit ambulans tekanan negatif disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak menyebut kesemua 500 ambulans itu bercirikan tekanan negatif.
"Sebenarnya Adham menyatakan kita akan mulakan tender 500 ambulans ini dan bagi ambulans lain kita akan gunakan sistem 'leasing' mengikut zon agar isu logistik pesakit Covid-19 di mana-mana jua dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempersoalkan langkah pembelian 500 buah ambulans tekanan negatif yang menelan belanja RM300 juta dalam pelaksanaan darurat.
Menurutnya, ketika ini perkara yang menjadi keutamaan adalah memikirkan cara menurunkan angka kematian akibat Covid-19, bukan pembelian jentera berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Shafiq berkata, KKM melihat keperluan ciri-ciri ambulans tekanan negatif tersebut untuk melawan pandemik Covid-19 pada masa sekarang dan akan datang.
"Ciri-ciri ambulans tekanan negatif ini mempunyai sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutama jenis penyakit bawaan udara,” katanya.
Tambah beliau, pada 17 Jun, KKM mengiklankan tawaran tender untuk perolehan 490 jenis ambulans bersama kelengkapan peralatan perubatan untuk kegunaan hospital dan klinik di seluruh negara.