KUANTAN - Kadar jenayah di daerah Kuantan menunjukkan penurunan 19.6 peratus dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada kes-kes pecah rumah, ragut dan lain-lain kes curi yang masih berlaku.
Menurutnya, secara keseluruhan dalam tempoh lima bulan tahun ini terdapat lapan kes ragut dilaporkan, namun ia mencatatkan berbanding 12 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagi jenayah pecah rumah sebanyak 77 kes dilaporkan, dalam tempoh tersebut ia merekodkan penurunan sebanyak 12 kes berbanding 89 kes tahun lalu.
"Bagaimanapun, bagi kes lain-lain seperti kecurian besi ia merekodkan jumlah agak tinggi dengan 91 kes dilaporkan sepanjang lima bulan tahun ini," katanya ketika ditemui pada program penutupan penugasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Jaya Gading di sini pada tengah malam Isnin.
Mohamad Noor berkata, pihaknya memberi fokus dalam membendung jenayah ini bagi mencegah ia terus menyumbang kepada peningkatan indeks di daerah ini.
"Justeru, di samping penugasan pemantauan Covid-19, anggota bersama pasukan sahabat turut melakukan rondaan cegah jenayah," katanya.
Tambah beliau, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sedang dilaksanakan, penjenayah sentiasa mencari peluang untuk bertindak terutama di tempat-tempat tertentu tanpa kawalan.
"Pihak polis sentiasa meneliti dan membuat kajian berdasarkan laporan setiap hari bagi mengenalpasti kes-kes yang meningkat dan lokasi ia berlaku untuk tindakan selanjutnya,"katanya.