Bekalan gula dijamin mencukupi

Iklan
Rosol (kiri) pada lawatan dan pemeriksaan bekalan gula di Kilang Gula CSR Sdn Bhd Batu 3 Shah Alam hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kekurangan bekalan gula di pasaran negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu diberikan berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pihak berkaitan dan juga pemantauan yang dijalankan oleh pihaknya.

Iklan
Iklan

"Saya memberi jaminan seratus peratus tiada kekurangan bekalan gula di pasaran dan bekalan sentiasa mencukupi. Gula merupakan makanan asas yang penting dan kita tidak mahu ia menjadi satu isu baharu.

"Kita juga maklumkan kepada pihak industri dan pengilang agar sentiasa memastikan stok gula sentiasa mencukupi untuk kegunaan pengguna di dalam negara," katanya.

Rosol Wahid (tengah) ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di Kilang Gula CSR Sdn Bhd, Batu Tiga, Shah Alam pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan dan pemeriksaan di Kilang Gula CSR Sdn Bhd, Batu Tiga di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pemantauan dan pemeriksaan akan sentiasa dijalankan oleh pihaknya bagi memastikan tiada isu melibatkan kekurangan gula berlaku di pasaran.

Iklan

"Saya dan para pegawai KPDNHEP boleh diakses sendiri, bermaksud aduan boleh diajukan secara terus dan kita akan turun sendiri untuk melakukan tinjauan.

"Saya sendiri ada menerima aduan daripada beberapa individu dari Kuantan dan Terengganu yang menyatakan mengalami masalah kekurangan gula, namun mereka maklumkan semula kepada saya stok baharu saja sampai.

"Jadi isunya di sini bukannya kekurangan namun hanyalah melibatkan sedikit kelewatan stok gula untuk sampai, jadi tiada isu dalam soal tersebut," katanya.