Kilang proses makanan kotor, guna logo halal palsu

Iklan
Omar Bakhtiar menjalankan pemeriksaan persekitaran sebuah premis pada Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Pemantauan Covid-19 di Kuala Kangsar.

KUALA KANGSAR - Sebuah kilang memproses makanan di Kawasan Perusahaan Kuala Kangsar di sini, dikesan menggunakan logo halal tidak diiktiraf dengan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Tinjauan mendapati ruang kerja premis berkenaan kotor dan berbau busuk serta terdapat takung yang dipenuhi jentik-jentik.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu dikesan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyertai Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dan Pemantauan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, penggunaan logo halal tidak diiktiraf itu merupakan kesalahan berulang dilakukan premis berkenaan sejak tahun lalu.

Iklan

"Tiada kompaun dikeluarkan ke atas kilang tersebut dari segi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 namun dari segi logo halal tidak sah, tindakan diambil oleh KPDNHEP.

"Bagi aspek kebersihan pula, tindakan susulan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana pihak berkenaan akan melakukan pemeriksaan sekali lagi," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, KPDNHEP akan ambil tindakan mengikut Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata, beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hasil daripada pemeriksaan di empat buah kilang di sini.

"Tiada kompaun ke atas kilang di daerah ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun hingga kini.

"Hanya lima kompaun dikeluarkan ke atas individu bagi kesalahan rentas negeri dan daerah dalam tempoh sama," katanya.