KUALA TERENGGANU - Calon wanita tertua yang muncul dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun yang kini berusia 102 tahun mengakui tidak berani untuk mendapatkan vaksin kerana fobia dengan jarum suntikan.
Bekas calon bebas itu berkata, dia masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.
"Ramai yang beritahu suruh cucuk tapi Tok tak pergi cucuk lagi sebab takut jarum dan takut kena cucuk. Tok tak berapa yakin nak cucuk.
"Tapi Tok pakai pelitup muka sebab bimbang penyebaran penyakit," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Atas Tol, di sini pada Isnin.
Menurut Maimun, walaupun usianya kini telah satu abad, namun tahap kesihatannya masih baik dan tidak mengalami sebarang penyakit.
Jelasnya, dia tiada sebarang amalan rahsia cuma tidak gemar makan di kedai serta tidak memakan makanan mengandungi bahan perasa.
"Tok tak boleh makan makanan yang orang lain masak sebab sejak muda Tok sudah biasa makan masakan sendiri yang dimasak di rumah,” katanya.
Nama Maimun sebelum ini dikenali kerana merupakan calon tertua yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU12.
Bagaimanapun, nenek kepada tujuh cucu itu hilang wang pertaruhan setelah meraih hanya 685 undi ketika menentang Mohamad Sabu (Pas) dan Allahyarham Datuk Razali Ismail (Barisan Nasional).
Tidak terhenti setakat itu, Maimun sekali lagi menjadi calon bebas di kerusi sama pada PRU13 ketika berusia 94 tahun, namun menerima nasib sama malah hasratnya untuk bertanding pada PRU14 tidak menjadi kenyataan kerana tidak mempunyai wang pertaruhan.
Dalam pada itu Maimun tidak menolak untuk bertanding lagi pada PRU15 dan mengakui pernah disuruh menjual tanah pusakanya untuk mendapatkan wang
Katanya, dia masih memikirkan peluang itu namun terdapat banyak halangan disebabkan jabatan kerajaan tidak beroperasi penuh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ketika ini.
"Tok pegang amanah orang, kalau ada duit (deposit) Tok akan bertanding lagi guna lambang istana," katanya.
Maimun berkata, dia kini menjalankan perniagaan menjual keropok keping dan keropok lekor untuk menampung pendapatan.