E-hailing, penghantar makanan dibenar rentas tiga daerah di Sabah

Iklan
Gambar hiasan

KOTA KINABALU - Sabah memberi kebenaran rentas daerah bagi operasi perkhidmatan e-hailing, teksi berdaftar dengan e-hailing dan penghantaran makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 melibatkan daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang berkuatkuasa Rabu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, keputusan dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Covid-19 itu membolehkan pergerakan rentas daerah tanpa surat kebenaran polis bagi perkhidmatan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kebenaran tersebut diberikan bagi memenuhi keperluan masyarakat dan operasi perkhidmatan itu perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Masa operasi dibenarkan bermula 6 pagi hingga 8 malam setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang (e-hailing) sahaja, kecuali tujuan perubatan atau kecemasan dengan had maksimum dua orang penumpang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah merekodkan sebanyak 193 kes baharu pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif wabak berkenaan 67,900 dengan tiga kes kematian dilaporkan masing-masing dua di Tawau dan satu di Sandakan.

Beliau berkata, seramai 319 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif 65,557 orang.

Iklan

Katanya, seramai 1,473 pesakit sedang menerima rawatan masing-masing membabitkan 451 orang di hospital, selain Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,020 orang) dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara atau penjara. - Bernama