KUALA KRAI - Percubaan seorang malim gunung yang sedang ‘bercuti’ kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkongsi gambar petai di laman sosialnya membuahkan hasil pulangan lumayan apabila dia berjaya menjual 3,000 keping dalam talian dalam tempoh lima hari.
Semuanya bermula, selepas pemuda tersebut berkongsi gambar petai yang dipetik daripada lima pohon miliknya yang berbuah lebat di kebun belakang rumah di Kampung Jelawang.
Menurut Nik Ali Nik Muhammad, 30, sebelum ini, pokok-pokok petai itu dipajakkan kepada pembeli kerana kekangan masa ketika berkhidmat sebagai pemandu pelancong di Gunung Stong.
"Akibat Covid-19 dan PKP, kami hilang punca pendapatan tetapi untung ada kebun petai yang ditanam oleh datuk lagi.
"Selepas kongsikan gambar petai di Facebook, saya terima banyak tempahan minta saya poskan kepada mereka terutama yang berada di luar Kelantan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut pemuda tersebut, para pembeli terdiri daripada pelanggan-pelanggannya ketika dia bertugas sebagai pemandu pelancong selain penduduk Kelantan yang tinggal di perantauan.
"Ramai juga pembeli dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Penang, Kedah dan Melaka. Cabarannya, petai yang dibungkus akan cepat masak kerana mengambil sedikit masa untuk sampai ke tangan pembeli.
"Dalam tempoh lima hari, sejumlah 3,000 keping petai habis dijual malah ramai juga yang menghubungi untuk membeli secara borong tetapi ia sudah habis. Selain itu, saya juga poskan buah salak yang dijual secara maya,” katanya.
Menurut Nik Ali, pokok petai kategori tanaman bermusim dan berbuah setahun sekali. Dengan ketinggian pokok yang mencecah antara 20 hingga 30 meter katanya, memanjat pokok petai memerlukan kemahiran dan keberanian.
"Bagi mendapatkan petai, saya sendiri yang memanjatnya," katanya yang berharap pandemik Covid-19 segera berakhir kerana ia menjejaskan stamina para pendaki yang terhenti seketika.