MELAKA - Pertubuhan Bertindak Pendidikan Ibu Bapa Negeri Melaka (Magpie) merayu supaya kerajaan mempertimbang kebenaran operasi kedai buku dan perniagaan alat tulis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.
Pengerusinya, Mak Chee Kin, 59, yang juga pemilik Kedai Buku Edaran Sumber Sdn Bhd berkata, kebenaran itu setidak-tidaknya dapat melancarkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang melibatkan ibu bapa, guru dan pelajar.
"Ini bukan soal untung atau rugi. Boleh dikatakan setiap hari saya menerima pesanan ibu bapa melalui aplikasi WhatsApp yang mahu membeli buku dan alat tulis termasuk dakwat percetakan.
"Saya harap kerajaan tolonglah beri kelonggaran kedai buku beroperasi, ini bukan soal mahu ‘bisnes’ tapi keperluan untuk PdPR,” katanya ketika ditemui di kedai bukunya di Plaza Malim di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah di sini berkata, kerajaan boleh mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa di kedai buku dan alat tulis, selain waktu operasi dipendekkan bagi mengekang penularan Covid-19.
Katanya, kelonggaran itu dapat melegakan ramai pihak sekali gus menyokong sesi PdPR yang sedang berjalan."Benarkan pemilik kedai buku membuat penghantaran ke rumah pelanggan atau apa sahaja kaedah yang difikirkan sesuai, asalkan pelajar-pelajar tidak menghadapi kesukaran atau tercicir untuk mengikuti PdPR,” katanya yang menutup operasi kedainya buat sementara waktu sejak 25 Mei lalu.
Tambah beliau, sekarang bukan masa untuk mengaut keuntungan tetapi memenuhi keperluan asas yang perlu diberikan perhatian terutama kepada golongan B40.
"Mungkin ada yang kata, boleh saja beli secara dalam talian. Tapi kita kena fikirkan kepayahan golongan yang kurang bernasib baik,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Susahnya nak dapat buku, alat tulis’