JOHOR BAHRU - Kerajaan diminta untuk memberikan kelonggaran kepada kedai-kedai buku untuk beroperasi sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh bagi mengatasi kesukaran guru, ibu bapa dan pelajar untuk mendapatkan barangan keperluan persekolahan.
Pengusaha kedai buku, Abdul Halim Sa’adon yang juga Pengarah Badan Cemerlang Sdn Bhd berkata, pihaknya turut tersepit untuk memenuhi permintaan golongan berkenaan yang kini terpaksa mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Selain keperluan alat tulis, katanya, ramai kalangan ibu bapa dan guru yang terdesak untuk mendapatkan bahan bacaan, bahan bantuan pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan fotostat.
"Kami faham dengan situasi mereka tapi dengan kekangan yang ada, sukar untuk kami penuhi semuanya. Kami terpaksa ambil alternatif lain dengan buka pesanan melalui WhatsApp dan laman web dan dihantar melalui perkhidmatan kurier.
"Ini sahaja yang kami dapat bantu. Kedai kami sendiri hanya dibenarkan beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat dengan tempoh lapan jam sehari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Tetapi, ia bukannya dibuka untuk orang awam tapi bagi membolehkan kami memproses pesanan pelanggan dan urusan berkaitan,” katanya yang mempunyai gedung buku di Angsana Johor Bahru Mall di sini.
Jelas Abdul Halim, lebih memburukkan keadaan apabila pasar raya dibuka, namun bahagian alat tulis tidak beroperasi, membuatkan ibu bapa dan guru buntu dengan keadaan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Susahnya nak dapat buku, alat tulis’
Tambahnya, adalah tidak berbaloi untuk mereka membayar lebih bagi mendapatkan peralatan alat tulis secara dalam talian kerana terpaksa menanggung kos tambahan seperti kos kurier.
"Keadaan sekarang ibaratnya tergantung. Pelajar bermasalah, kami pun bermasalah. Keadaan sekarang tidak adil untuk ibu bapa, guru dan pelajar serta kami kedai buku yang ibarat nyawa-nyawa ikan sekarang.
"Keadaan kini ibaratnya ‘bumi tak terima, langit pun tak terima’. Kami berada di tengah-tengah. Sampai bila keadaan ini perlu berterusan? Ini salah satu perkara yang kerajaan perlu teliti dan perlu buat kelonggaran pada kedai-kedai buku,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa, Mohd Saufi Md Salleh, 35, turut mengakui masalah yang dihadapi dan mengharapkan kerajaan mempertimbang pembukaan kedai buku untuk kemudahan semua pihak.
Jelasnya, antara kemudahan pembelajaran yang mendesak ialah alat tulis, peralatan teknikal dan kalkulator saintifik.
"Walaupun mereka mengikuti kelas secara dalam talian, kelengkapan alat tulis dan bahan bacaan masih lagi diperlukan.
"Kadangkala kita ingat apa yang ada sudah memadai tetapi apabila kehabisan, kita sebagai ibu bapa pening fikirkan bagaimana cara nak dapatkannya.
"Apatah lagi kita tidak tahu sampai bila kedai buku ini akan ditutup,” katanya.