PERTAHANAN Sepanyol, Cesar Azpilicueta menyifatkan pasukan itu tidak memiliki pilihan selain menewaskan Slovakia pada awal pagi Khamis, jika mahu menempah slot beraksi pada pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020.
Menurut Azpilicueta, La Roja pastinya akan berdepan kesukaran ketika berdepan Slovakia yang mahu melakar sejarah tersendiri untuk mara ke saingan 16 pasukan terbaik.
"Pasukan ini telah memenangi Euro dan juga Piala Dunia, tetapi kali ini pasukan ini dibarisi ramai pemain muda setelah pemain senior yang juga kapten, Sergio Ramos tidak bersama kami kali ini.
"Sekali gus, ketiadaan Ramos menyebabkan wujudnya beberapa pemain yang bertindak selaku kapten dalam pasukan kali ini.
"Apa pun, kami semua mengetahui apa yang perlu dilakukan dan saya optimis semua pemain akan memberikan aksi terbaik masing-masing untuk memastikan kemenangan nanti,” katanya.
Sepanyol sekadar terikat tanpa jaringan berdepan Sweden pada aksi pembukaan 15 jun lalu sebelum terikat 1-1 berdepan Poland pada 20 Jun.
Tambah Azpilicueta, dia tetap optimis peluang pasukan itu untuk mara ke peringkat 16 pasukan terbaik biarpun bakal merintis laluan penuh berliku pada pelawanan berkenaan.
"Kami kini berada pada situasi yang tidak pernah kami bayangkan. Kami sepatutnya berada situasi yang lebih selesa ketika ini, namun inilah bola sepak.
"Apa pun, kami tetap bernasib baik kerana masih berpeluang dan ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.