RANTAU PANJANG - Tindakan licik menggunakan mesin basuh buruk sebagai tempat menyembunyikan dadah jenis syabu dan heroin gagal mengaburi mata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan selepas taktik itu berjaya dibongkar.
Modus operandi itu dibongkar PGA selepas melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Banggol Petai, Bukit Tuku di sini pada Isnin.
Dalam serbuan jam 11 malam itu, PGA turut menahan lima suspek termasuk tiga wanita masing-masing berusia antara 16 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan selain merampas wang tunai berjumlah RM1,460.
Nilai rampasan dadah jenis syabu seberat 86.2 gram dan heroin 12.82 gram itu dianggarkan berjumlah RM9,236.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah membuat serbuan ke atas rumah berkenaan dan kemudian telah menahan dua lelaki.
"Dua lelaki berusia 30 dan 27 tahun itu kita tahan semasa mereka berada di hadapan rumah berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, bagaimanapun, pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, anggota PGA bersama kedua-dua suspek kemudian telah masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemeriksaan dan menahan tiga perempuan yang berada di ruang tamu.
Azhari berkata, pemeriksaan di dalam rumah bersama suspek berusia 30 tahun selaku pemilik premis juga tidak menjumpai apa-apa barang salah namun pemeriksaan di luar rumah telah menemui satu unit mesin basuh lama yang berada di bahagian belakang.
"Pemeriksaan lanjut telah menemui dadah jenis syabu seberat 86.2 gram dan heroin 12.82 gram disorok di dalam mesin basuh lama itu," katanya.
Tambahnya, salah seorang suspek berusia 27 tahun turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.