JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu bertitah supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bersidang pada 12 Ogos ini.
Baginda juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
Iklan
Iklan
"Saya mahu semua Ahli Dewan bersatu hati untuk bersidang demi kepentingan rakyat dan negeri Johor terutama mengenai pelan tindakan bagi membantu kehidupan rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri Johor dengan sebaiknya.
"Saya berasa amat sedih melihat kehidupan rakyat saya yang dalam kesusahan, ketakutan dan kegelisahan sekarang ini.
"Saya juga kecewa kerana sehingga hari ini, masalah penularan virus Covid-19 masih belum dapat diselesaikan," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada Rabu.
Baginda bertitah demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Penasihat Undang-Undang Johor, Amir Nasruddin pada Rabu.
Sultan Ibrahim turut menerima menghadap Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu bagi mendapatkan laporan keadaan pandemik Covid-19 di negeri ini.