PEMAIN sayap England, Bukayo Saka optimis The Three Lions mampu untuk menewaskan mana-mana pasukan yang bakal ditentang mereka dalam aksi 16 pasukan terbaik pada saingan Euro 2020.
Keyakinan itu disuarakan Saka selepas pasukan itu meneruskan kemaraan ke pusingan 16 pasukan terbaik apabila menundukkan Republik Czech 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan D pada awal pagi Rabu.
"Ia menjadi sesuatu yang sangat penting (untuk bermain di Wembley dalam pusingan 16 terakhir). Ini adalah rumah kami dan kami menang banyak perlawanan di sini.
"Sangat beruntung untuk kembali bermain di sini dan sesiapa sahaja yang kami perlu lawan selepas ini, kami yakin mampu tewaskan mereka dan mara ke pusingan suku akhir," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal tandukan Raheem Sterling memastikan England mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan teratas dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri.
Malah, skuad yang sarat dengan pemain bintang itu juga mencatakan pencapaian membanggakan apabila tidak bolos sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Saka turut mengakui persembahan dan kebangkitan positif yang dipamerkan England itu juga selepas terkesan dengan kritikan yang dilemparkan penyokong selepas aksi hambar ketika permulaan kejohanan itu.
"Ia persembahan yang sangat baik dari kami dan kami bermain dengan sangat baik dalam perlawanan menentang Czech ini. Kami tahu sudah layak sebelum perlawanan terakhir ini dan kami mempunyai lebih banyak kebebasan untuk bermain.
"Pengurus memberitahu saya untuk keluar dan mengekspresikan diri saya, untuk bermain bagaimana saya bermain untuk kelab saya sepanjang musim. Ia sangat membantu saya untuk bermain baik di atas padang.
"Penting untuk berada di Wembley untuk pusingan 16 pasukan terakhir. Kami telah banyak menang di sini dan dengan peminat kami, ia adalah pemain tambahan yang sangat diperlukan England," katanya.
England berkemungkinan akan bertemu Perancis, Jerman, Portugal atau Hungary di pusingan 16 terakhir.