PELABUHAN KLANG - Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya merampas 11,200 karton rokok seludup bernilai RM3.1 juta termasuk cukai selepas menahan sebuah lori di Bukit Tagar, malam tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal berkata, rampasan kira-kira jam 11.45 malam itu hasil risikan dan intipan yang dilakukan hampir dua bulan.
"Kita mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan Pekan Kuala Selangor. Seorang pegawai bersama lima anggota mengekori dan cuba menahan lori itu.
"Namun pemandu terbabit bertindak memecut lori untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa," katanya pada sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, hasil kecekapan anggota, PPM berjaya menahan lori berkenaan di Bukit Tagar selepas mengejar kenderaan terbabit hampir 70km.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati 224 kotak yang mengandungi 11,200 karton rokok putih tidak bercukai di bahagian belakang lori itu. Jumlah rampasan bernilai RM3.25 juta termasuk dua telefon bimbit dan sebuah lori 3 tan jenis Hino bernilai RM130,000.
"Seorang lelaki warga tempatan yang juga pemandu lori berusia 32 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. Kita percaya rokok seludup ini diperoleh dari negara jiran untuk pasaran selatan tanah air," katanya.
Mohd Khairuddin berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala cukai jalan didaftar atas syarikat yang beralamat di Semenyih.
"Kita tidak menolak kemungkinan lori berkenaan adalah lori curi. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti dalang sindiket dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Sementara itu, menurutnya, PPM Pelabuhan Klang turut menyelesaikan lima kes berkaitan Akta Kastam dari 1 Januari sehingga hari ini membabitkan nilai rampasan RM3.52 juta berbanding tiga kes bagi tempoh sama tahun lalu dengan nilai rampasan RM237,839.