TEMERLOH - Kira-kira 27,000 penduduk terlibat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Mentakab bermula Selasa hingga 5 Julai ini.
Lima lokaliti itu melibatkan Taman Saga, Taman Saga Indah, Taman Rimba, Taman Bukit Bendera dan Taman Sri Layang.
Seorang penduduk, P Ramamorthy, 63, dari Taman Rimba mengharapkan penduduk terlibat mendapat bantuan sewajarnya sepanjang tempoh PKPD.
Dakwanya, situasi tersebut menyebabkan harga makanan seperti sayur-sayuran menjadi lebih mahal.
"Namun sebagai penduduk, kami akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana risau jika ia terus meningkat selain berharap jangkitan Covid-19 tidak merebak," katanya lagi.
Bagi seorang suri rumah dari taman sama, Rosmizana Abas, 47, dia dan ahli keluarganya tidak berani keluar rumah berikutan situasi tersebut yang melanda di taman terbabit.
"Saya dah pesan pada anak-anak jangan keluar rumah dan berkurung selain patuhi SOP ditetapkan," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff, dua pos kawalan dibuka selain konkrit serta kawat besi telah dipasang di beberapa laluan di lokaliti terbabit supaya tiada pergerakan keluar masuk tanpa kawalan.
Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lapan kes positif direkodkan di Taman Bukit Bendera, Taman Rimba (10 kes), Taman Saga (tiga), Taman Saga Indah (dua) dan Taman Sri Layang (tujuh).
Sehubungan itu, PKPD dilaksanakan untuk mengekang penularan pandemik tersebut.