BIARPUN gagal mara ke pusingan 16 pasukan terbaik pada Euro 2020, pengendali Scotland Steve Clarke tetap berbangga dengan pencapaian skuad kendaliannya itu pada edisi Euro kali ini.
Menurut Clarke, pencapaian skuad The Tartarian Army itu pada edisi Euro kali ini secara keseluruhannya boleh dibanggakan walaupun tanpa mencatatkan sebarang kemenangan kali ini setelah tewas 0-2 kepada Republik Czech pada 14 Jun, terikat tanpa jaringan dengan England (19 Jun) dan terbaru tewas 1-3 kepada Croatia.
"Apa yang anda semua saksikan kali ini adalah aksi sebuah pasukan yang sudah agak lama tidak beraksi di peringkat tertinggi seperti ini selain telah berdepan perlawanan getir dengan Croatia pada aksi pembukaan lalu.
"Secara keseluruhannya, saya berbangga dengan pencapaian pemain yang membuktikan kami mampu beraksi sehingga ke peringkat ini buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun.
"Sekali gus, ia menjadi sejarah besar buat negara dan juga buat kesebelasan pemain bagi edisi Euro kali ni,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, pemain Croatia, Nikola Vlasic membuka jaringan pada minit ke-17, namun pemain Scotland, Callum McGregor menggamatkan stadium menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-42.
Bagaimanapun pada separuh masa kedua, Republik Czech dilihat mula menggandakan asakan bagi menambah jaringan dan usaha mereka berhasil apabila Luka Modric menjaringkan gol kedua sebelum Ivan Perisic menjaringkan gol ketiga bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat 16 pasukan terbaik.
Sementara itu Clarke berkata, kekalahan berkenaan diharap dapat memberikan pengajaran kepada kesemua pemain bagi mengharungi perlawanan-perlawanan pada masa akan datang.
Katanya, pemain juga pastinya telah banyak belajar daripada kesilapan masing-masing dan ia dilihat sebagai bekal berguna untuk kesemua pemain.
"Secara keseluruhannya, saya sungguh berbangga dengan kesemua pemain. Walaupun sejak beberapa minggu ini, kami telah melalui perlawanan yang sukar dalam Euro 2020.
"Saya tahu, semua orang kecewa, tetapi semangat yang dipamerkan oleh semua pada Euro kali ini sungguh membanggakan dan diharapkan ia berterusan selepas ini,” katanya.