INDUSTRI perbankan Malaysia perlu menyesuaikan diri dan berubah berikutan perintah kawalan pergerakan dan kesan pandemik yang terus menjejaskan ekonomi, kata Deloitte Malaysia.
Ketua Perkhidmatan Penstrukturan Semula, Khoo Siew Kiat berkata, kesan negatif Covid-19 dirasai oleh hampir semua sektor dengan sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan, runcit serta hartanah menjadi yang paling teruk terjejas.
Bank-bank Malaysia secara amnya dipermodalkan dengan tahap pinjaman tidak berbayar (NPL) yang rendah, kos kredit dan penampan modal yang mencukupi.
"Bagaimanapun, nisbah NPL dijangka meningkat sebaik sahaja moratorium atau bantuan pembayaran balik yang disasarkan kepada peminjam berakhir, dipacu oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan runcit" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, krisis sebelum ini telah membuktikan bank yang mengambil keputusan yang berani dan sukar secara lebih awal akan mampu menangani cabaran dengan lebih pantas, seterusnya pulih dan berkembang maju berbanding saingan mereka.
"Bank-bank yang ingin mengemudi dalam ketidaktentuan pasaran untuk terus hidup serta berkembang maju dalam normal baharu akan mampu melaluinya dan kemudian, merancang tindakan segera yang perlu bagi mengelakkan kesan negatif jangka panjang akibat pandemik," katanya.
Strategi-strategi ini tidak seharusnya mengubah fokus bank daripada menjalankan perniagaan teras mereka tetapi dipakai sejajar dengan operasi yang diperketatkan, bersama-sama dengan sokongan bakat dalaman termasuk perunding profesional dengan pelbagai kemahiran.
Menurut Siew Kiat lagi, memandangkan pasaran Malaysia sedang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam meneliti semula garis panduan NPL, bank boleh membuat persediaan untuk jualan portfolio pada masa depan dengan menjalankan pemeriksaan integriti data, penyediaan data dan pemulihan, diagnostik portfolio pinjaman, langkah harga petunjuk termasuk persediaan untuk proses transaksi yang lebih menyeluruh.
Beliau menganggap penjualan portfolio sebagai cara paling langsung untuk mengurangkan nisbah NPL selain memberikan jaminan resit tunai awal, memandangkan ia juga membebaskan modal bagi diagihkan kepada unit perniagaan lain yang lebih menguntungkan serta mempunyai skala dan teknologi untuk berkembang maju pasca pandemik.
Krisis sebelum ini juga menunjukkan bahawa menjalankan unit pengurusan aset bukan teras yang tertumpu khusus kepada menjalankan aktiviti penjualan kelantangan tinggi telah terbukti berjaya.
"Mengasingkan aset terbaik dan negatif bank adalah kunci apabila menguruskan aset bukan teras," katanya.
Bank boleh mempertimbangkan untuk membangunkan atau melaksanakan program pengurangan risiko bagi mengukuhkan lembaran imbangan dan asas modalnya, memandangkan peningkatan dalam aset bukan teras dan tidak produktif boleh menyebabkan beban modal yang lebih besar. - Bernama