SHAH ALAM - Firma penyelidikan pasaran (Ipsos) Malaysia mendapati beberapa negara di dunia termasuk Malaysia kini kurang terbuka untuk menerima pelarian susulan sedang berhadapan pandemik Covid-19.
Pengarah Pengurusan Awamnya, Lars Erik Lie berkata, lebih lapan buah negara memihak mengurangkan keterbukaan untuk menerima pelarian luar.
Menurutnya, sentimen itu lebih kuat di Malaysia berbanding kebanyakan negara lain, namun diatasi oleh Turki sebagai negara yang mempunyai paling ramai pelarian di dunia.
"Hasil tinjauan yang dijalankan di 28 negara mendapati, secara purata 42 peratus negara-negara global kurang terbuka untuk menerima pelarian.
"Turki mencatatkan 67 peratus kurang terbuka diikuti Malaysia 59 peratus dan Korea Selatan 42 peratus,” katanya menerusi laporan Ipsos pada Rabu.
Dalam pada itu, kajian Ipsos menunjukkan Malaysia kurang bersetuju untuk membelanjakan wang bagi menyokong pelarian di seluruh dunia jika dibandingkan sebelum pandemik berlaku.
Menurut Lars Erik, menerima pelarian adalah isu banyak diperdebatkan di kebanyakan negara walaupun pada waktu normal.
"Rakyat Malaysia sangat menyokong agar sempadan ditutup sepenuhnya untuk pelarian yang menunjukkan perubahan besar berbanding pada tahun 2019 sebelum pandemik.
"Di seluruh dunia, rakyat lebih suka negaranya kurang terbuka kepada pelarian dan tekanan kewangan yang disebabkan oleh pandemik ini menyebabkan bantuan kewangan kepada pelarian sebagai agenda yang lebih rendah berbanding sebelumnya,” katanya.