Dr Mahathir saran anggota Kemas tingkatkan imej Kemas

Iklan
Rina (tengah) bergambar bersama para jemputan yang hadir dalam majlis Pehimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas. FOTO: MOHD FAKHRI MARHAT.

SERDANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) meningkatkan semula imej dan kewibawaan badan itu.

Menerusi teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, beliau berkata, jabatan itu perlu mara sebagai agensi utama penggerak perubahan masyarakat luar bandar.

Iklan
Iklan

"Tingkatkan prestasi kerja, sentiasa lakukan perubahan dalam setiap tindakan dan memberi fokus sepenuhnya terhadap penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat selaras dengan aspirasi Kemas sebagai penggerak kesejahteraan masyarakat luar bandar.

"Kemas selaku agensi utama pembangunan sumber manusia di luar bandar hendaklah melaksanakan program pembangunan masyarakat bersama penduduk setempat.

Iklan

"Untuk itu, peranan dan fungsi Kemas hendaklah selaras dengan ekspektasi dan keperluan masyarakat serta kehendak kerajaan masa kini," katanya sempena Perhimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas, hari ini.

Rina (dua, kiri) merasmikan majlis Pehimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas. FOTO: MOHD FAKHRI MARHAT

Menurutnya, jabatan itu perlu menjadi tulang belakang kerajaan dalam meneruskan perancangan dan pembangunan negara agar berjalan dengan lebih teratur serta berkesan.

Iklan

"Saya percaya kemakmuran, kesejahteraan dan kenikmatan kita kecapi pada hari ini sedikit sebanyak lahir atas sumbangan, ajaran serta didikan sepanjang hayat yang diberikan Kemas kepada masyarakat keseluruhannya.

"Pastinya cabaran dan dugaan akan bertambah hebat lagi pada masa-masa mendatang. Sudah tentu ia akan menuntut komitmen, kecekalan dan daya ketahanan yang tinggi dalam kalangan warga Kemas.

"Mantapkan perancangan, giatkan usaha dan teruskan langkah ke hadapan demi merealisasikan harapan negara untuk memperkasa masyarakat luar bandar ke arah pembangunan holistik," katanya.

Dr Mahathir berkata, Kemas adalah perintis pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) pada 1970 dan Taska Kemas pada 1995.

"Sesungguhnya pendidikan awal kanak-kanak merupakan permulaan bagi membangunkan sesebuah negara dan rakyatnya.

"Setiap kanak-kanak merupakan aset paling bernilai kepada masyarakat, khususnya negara kerana mereka inilah bakal menjadi pewaris bangsa kita.

"Saya difahamkan, Kemas telah berjaya menyediakan sebanyak 11,082 buah kelas Tabika yang memberi peluang kepada 214,726 kanak-kanak dan 505 kelas Taska Kemas dengan 9,329 kanak-kanak mengikuti pendidikan awal yang berkualiti," katanya.

Rina beramah mesra dengan seorang kanak-kanak yang memaikai kostum robot ketika majlis Pehimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas. FOTO: MOHD FAKHRI MARHAT

Mengulas lanjut beliau berkata, selari dengan hasrat negara dalam Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia (RMK-11), kerajaan menyasarkan sebanyak 2.9 peratus pertumbuhan produktiviti buruh melalui penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran dengan gaji dan upah tinggi.

"Malah penyertaan wanita dalam tenaga buruh juga harus dipertingkatkan. Oleh itu, Kemas hendaklah memperkukuhkan program-program kemahiran seperti pendidikan kemahiran jahitan, masakan,kraftangan, dandanan diri dan pendidikan literasi komputer yang dilaksanakan melalui 3,532 buah kelas kemahiran pelbagai bidang dengan penyertaan 52,632 orang.

"Pelaksanaan program-program kemahiran yang dilaksanakan sejam 1980-an lagi telah banyak membantu golongan belia, suri rumah dan masyarakat setempat lebih berdikari.

"Melalui bidang kemahiran ini juga, masyarakat telah diberikan kesedaran, pendedahan dan peluang menyertai atau terlibat dalam pelbagai program serta projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.

Pembelajaran yang menarik dari Tadika Kemas Taman Koperasi Polis Fasa 2 ditunjukkan ketika Pehimpunan Perdana Sambutan Hari Kemas. FOTO: MOHD FAKHRI MARHAT

Sementara itu, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin dalam ucaptama berkata, tujuan perhimpunan perdana itu diadakan adalah untuk memberi penerangan berkaitan hala tuju dan peranan anggota Kemas dalam memajukan masyarakat luar bandar.

"Objektif utama perhimpunan adalah untuk memberi dorongan dan galakan kepada kakitangan dalam meningkatkan pencapaian prestasi kerja ke peringkat lebih tinggi selain untuk memberi kefahaman mengenai aspirasi Malaysia Baharu serta peranan sebagai penjawat awam.

"Sehingga Januari 2019, kakitangan Kemas adalah seramai 17,905 orang dengan pecahan 851 kakitangan tetap dan kakitangan kontrak 9,768 orang serta berjawatan sementara kontrak tetap seramai 7,286 orang. Dengan bilangan yang ramai ini, jika dapat digembleng dengan sempurna, Kemas mampu menjadi agen pembangunan masyarakat luar bandar yang terbaik," katanya.