MAHB jalin kerjasama dengan firma Turki bagi pelan LTSAAS

Iklan

KERJASAMA terbaru Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan Teknopark Istanbul (TI) akan membawa kepimpinan inovasi dan teknologi kepada Subang Aerotech Park.

Langkah tersebut merupakan sebahagian pelan oleh pengendali lapangan terbang itu dalam memenuhi aspirasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) untuk menjadi hab aeroangkasa dan penerbangan perniagaan di Asia-Pasifik.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, TI memiliki rekod prestasi berdasarkan kejayaannya di Turki.

"Pakatan dengan TI akan membantu industri aeroangkasa tempatan menjadi sebuah neksus yang holistik dan bersepadu bagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan teknologi dan daya saing global,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, Pelan Penjanaan Semula LTSAAS akan mengutamakan transformasi menerusi pembangunan infrastruktur yang kekal boleh digunakan sehingga masa depan, mempermudah inovasi dan mencipta ekosistem untuk mewujudkan warga kerja berpengetahuan selain taraf hidup lebih tinggi.

Kerjasama dengan TI akan menumpukan sektor aeroangkasa dan teknologi generasi baharu seperti robotik, analisis data, pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, menurut MAHB.

Iklan

Langkah itu juga akan membolehkan MAHB meneroka potensi jalinan LTSAAS-TI di samping memaksimumkan sinergi yang memberi manfaat bersama, jelasnya.

MAHB akan berusaha bersama TI untuk membangunkan kerangka kerjasama bagi perindustrian dan pembangunan taman teknologi menerusi pertukaran pengetahuan berkaitan model amalan terbaik.

Selain itu, akan ada usaha timbal balik untuk memudahkan pertumpuan teknologi serta kemajuan aeroangkasa dan ekosistem penerbangan.

Pengurus Besar TI, Bilal Topcu berkata, kerjasama dengan MAHB akan berperanan sebagai penghubung bagi pertukaran teknologi dan pelaburan antara kedua-dua negara.

"Kami gembira dan menanti kerjasama ini yang mewakili peluang baharu bagi kerjasama rentas sempadan,” katanya.

TI telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekosistem inovasi dan penciptaan persekitaran inovasi yang dinamik Turki bagi usahawan tempatan dan antarabangsa. - Bernama