KERJASAMA Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks) dengan ManagePay Systems Berhad (MPay) dilihat mampu memperkasa usahawan melalui kaedah pendigitalan.
Pengasasnya, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, impiannya adalah untuk melihat golongan usahawan khususnya bumiputera mendapat sokongan dari mula hingga sekarang dengan menggunakan pendigitalan serta teknologi.
"Sebab itu, saya bersama MPay akan menyediakan kemudahan dari mula hingga akhir kepada usahawan dalam mentransformasikan bisnes dengan menggunakan teknologi dan digitalisasi,” katanya kepada pemberita semasa sesi temu bual secara maya pada Rabu.
Pada Jumaat, Bursa Malaysia mengumumkan Azizan adalah salah seorang pemegang saham utama MPay dengan memiliki 5.762 peratus kepentingan.
Beliau berkata, MPay yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman dan mempunyai 12 lesen daripada pihak berkuasa membolehkan mereka menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi pembiayaan, teknologi, pendigitalan serta sistem bisnes terkini.
"Sebab itulah MPay turut dilantik sebagai penyedia perkhidmatan teknologi dengan geran padanan bernilai RM500 juta bagi membantu mendigitalkan operasi perniagaan PKS.
"Sebenarnya, kita juga sudah meneliti untuk melancarkan produk-produk latihan ini agar latihan dan digitalisasi boleh dimulakan selewat-lewatnya Julai depan.
"Fasa pertama pada awal bulan Julai ini yang akan dimulakan dengan Titanium (kumpulan usahawan di bawah mentorship Richworks dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta) untuk kita menguji sama ada mereka dapat menyesuaikan diri atau sebaliknya,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, MPay juga telah membida lesen bank digital dengan mengadakan usaha sama bersama syarikat Passion Venture Capital Pte Ltd (PVC) yang berpangkalan di Singapura bagi menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM).
Jelasnya, nilai yang terdapat dalam MPay selari dengan matlamat untuk membantu dan menyokong usahawan terutama PKS dalam menjalankan bisnes mengikut trend serta era dunia tanpa sempadan.
"Setakat ini, lebih 20,000 kedai telah menggunakan teknologi MPay dan usahawan seperti Mak Cik Kiah, Pak Saleh dan peniaga kecil lain juga dapat mengubah bisnes mereka dengan teknologi ketika ini," jelasnya.
Sementara itu, Azizan yang juga pakar motivasi turut menjelaskan, lima sasaran jangka pendek Richworks menjelang 2023 dengan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya satu juta 'bangsa' usahawan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Saya letakkan tanda aras pendaftaran SSM kerana saya tengok ramai usahawan tidak berdaftar, jadi bila kerajaan sediakan pelbagai bentuk bantuan, ramai yang sukar menerimanya.
"Richworks turut menyasarkan memberi bimbingan kepada 10,000 usahawan untuk mencapai RM1 juta jualan tahunan dan memberi sokongan serta bimbingan kepada lebih 1,000 perniagaan bagi mencapai RM10 juta jualan tahunan.
"Selain itu, Richworks juga akan membimbing lebih ramai usahawan dalam mendapatkan dana, khidmat nasihat perniagaan dan konsultasi sehingga mereka tersenarai dalam Bursa Saham serta melahirkan usahawan cemerlang IT dan digital,” katanya.