PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Rabu memerintahkan saman RM13.5 bilion yang difailkan Puncak Niaga Holdings Bhd terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri itu, dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Abdul Khalid bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 11 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengenepikan tuntutan samannya terhadap Abdul Khalid dan memasukkan semula Abdul Khalid sebagai defendan dalam saman tersebut. Mahkamah turut memerintahkan agar saman itu dibicarakan.
Hakim Ong, yang mendengar permohonan itu melalui prosiding yang diadakan secara dalam talian berkata beliau mengambil maklum bahawa ini adalah permohonan interlokutori yang melibatkan keputusan Mahkamah Rayuan agar perbicaraan penuh diadakan, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengenetepikan saman berkenaan.
"Isu sama ada permohonan itu berdepan limitasi masa belum diputuskan oleh Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan. Saya menerima hujah bahawa isu kebenaran sebagai isu kepentingan awam.
"Bagaimanapun, memandangkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak membuat keputusan, saya berpendapat syarat Seksyen 96 (dalam memberikan kebenaran) tidak dipenuhi. Isu mendapatkan kebenaran yang dipohon adalah bercampur aduk dengan fakta dan undang-undang derta perlu dirungkaikan dengan sempurna dalam prosiding perbicaraan. Oleh demikian, saya menolak permohonan ini,” kata hakim dan memerintahkan Abdul Khalid membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Puncak Niaga.
Hakim membuat keputusan itu setelah mendengar hujah peguam Gopal Sreenevasan yang mewakili Puncak Niaga manakala Edmund Bon Tai Soon mewakili Abdul Khalid.
Pada asalnya, Puncak Niaga mengemukakan saman terhadap Abdul Khalid, kerajaan Selangor dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai defendan.
Pada 22 Februari 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membenarkan permohonan tiga defendan itu untuk membatalkan saman tersebut yang menyebabkan Puncak Niaga mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Pada 11 Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengenepikan tuntutannya terhadap Abdul Khalid dan kerajaan Selangor.
Namun, mahkamah menolak rayuan Puncak Niaga berhubung keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuntutannya terhadap Mohamed Azmin.
Dalam saman yang difailkan pada 2017 itu, Puncak Niaga mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengugut sehingga menyebabkan kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos akibat kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion. - Bernama
TAG: Mahkamah Persekutuan, Puncak Niaga, Abdul Khalid, kerajaan Selangor, industri air negeri, perbicaraan penuh