Modric gembira Croatia akhiri kemarau kemenangan

Iklan
Modric (tengah) meraikan jaringan kedua Croatia semasa aksi Kumpulan D saingan Euro 2020 di Stadium Hampden Park, Glasgow. FOTO: AFP

KAPTEN Croatia, Luka Modric mengakui gembira apabila pasukan itu akhirnya melakar kemenangan pertama selepas mempamerkan prestasi hambar dalam dua aksi awal Kumpulan D saingan Euro 2020 sebelum ini.

Malah menurut Modric yang kini bersama gergasi La Liga, Real Madrid, kemenangan ke atas The Tartan Army membuktikan pemain Croatia mula mempamerkan kematangan dalam permainan.

Iklan
Iklan

"Semua pemain telah memberikan aksi terbaik untuk menewaskan Scotland apatah lagi ia perlawanan penting untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Ya, kami memang tidak gembira dengan persembahan dalam dua perlawanan terdahulu, tetapi apabila mampu beraksi seperti ini ia membuktikan kami mampu menyaingi pasukan lain selepas ini.

Iklan

"Kami gembira dapat bermain dengan baik untuk layak ke pusingan seterusnya,” kata pemain tengah berusia 35 tahun tersebut.

Dalam aksi ketiga kumpulan itu, naib juara Piala Dunia 2018 tersebut menewaskan Scotland 3-1 untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Iklan
Modric (kanan) dikawal ketat pemain Scotland, Lyndon Dykes semasa aksi Kumpulan D saingan Euro 2020 di Stadium Hampden Park, Glasgow. FOTO: AFP

Croatia meledak tiga gol hasil jaringan Nikola Vlasic pada minit ke-17, Modric (62’), Ivan Perisic (77’) manakala gol Scotland pula dijaringkan Callum McGregor minit ke-42.

Sementara itu, pengendali Croatia, Zlatko Dalic mengakui bangga pencapaian skuadnya walaupun mengharungi tempoh 10 hari yang sukar sebelum ini.

Menurut Zlatko, dia turut kagum dengan semangat dipamerkan pemain dalam mengharungi segala kesukaran sebelum ini untuk mara ke peringkat seterusnya pada edisi kali ini.

"Saya harap semuanya akan lebih mudah selepas ini untuk kami mara ke peringkat lapan terbaik,” katanya.