PERANCIS, Jerman dan Portugal meloloskan diri ke pusingan 16 terbaik Euro 2020 selepas berakhirnya saingan Kumpulan F pada awal pagi tadi.
Selepas tiga perlawanan, Perancis yang juga juara dunia muncul juara Kumpulan F apabila mengumpul lima mata diikuti Jerman dan Portugal yang berkongsi empat mata apabila masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga.
Portugal masih layak ke saingan kalah mati apabila muncul antara pasukan terbaik yang menduduki tangga ketiga selain Switzerland (Kumpulan A), Ukraine (Kumpulan C) dan Republik Czech (Kumpulan D).
Dalam aksi di Puskas Arena, Budapest awal pagi tadi, Perancis dan Portugal yang tampil selaku penyandang juara terikat dengan keputusan seri 2-2.
Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-30 sebelum Perancis bangkit menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Karim Benzema pada masa kecederaan.
Perancis berjaya mendahului apabila Benzema menjaringkan gol kedua pada minit ke-47 sebelum Ronaldo menjadikan kedudukan kembali terikat apabila sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60.
Gol kedua Ronaldo itu sekali gus menyaksikan dia kini menyamai rekod 109 gol yang dicatatkan penyerang legenda Iran, Ali Daie selaku penjaring terbanyak di pentas antarabangsa.
Dalam aksi di Allianz Arena, Jerman mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik apabila mencatatkan keputusan seri 2-2 berdepan Hungary.
Leon Goretzka menyelamatkan maruah Jerman daripada dimalukan Hungary apabila menjaringkan gol kedua skuad Die Manschaft pada minit ke-84.
Adam Szalai terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan Hungary seawal minit ke-11 sebelum bintang Chelsea, Kai Havertz menyamakan kedudukan buat Jerman pada minit ke-66.
Berselang dua minit kemudian, Hungary kembali di depan hasil jaringan Andras Schafer sebelum Goretzka meledak gol penyamaan pada penghujung perlawanan.
Dalam aksi pusingan 16 terbaik, Portugal bakal menentang Belgium pada 28 Jun; Perancis berdepan Switzerland (29 Jun) dan Jerman bertemu England (30 Jun).