SERI ISKANDAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta operator stesen minyak untuk berani menegur pelanggan yang gagal mematuhi aspek keselamatan.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz berkata, pihaknya masih belum berpuas hati dengan tahap kesedaran pengguna apabila ada yang mengabaikan peraturan ketika mengendalikan bahan mudah bakar itu.
"Meskipun notis larangan telah ditampal, ada pengguna yang tidak mematikan enjin ketika mengisi minyak, merokok dan paling utama ramai menggunakan telefon bimbit di stesen minyak.
"Justeru itu, operator jangan takut tegur pengguna demi keselamatan stesen dan pengguna itu sendiri. Mencegah awal lebih baik kerana kita tidak mahu sebarang insiden yang melibatkan nyawa berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum peringkat negeri di Stesen Minyak Petronas Seri Iskandar di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan Berhad, Aadrin Azly dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, C C Vigneswaran.
Menurutnya, KPDNHEP komited melaksanakan kempen itu bagi meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna stesen minyak.
"Setiap negeri diminta terus kerjasama dengan syarikat minyak untuk mengadakan kempen sebegini bagi rakyat lebih peka dengan keselamatan di tempat ini,” katanya.
Pada masa sama, Muez berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian taburan stesen minyak dalam negara.
"Setakat ini terdapat 3,500 stesen minyak di seluruh negara dan kajian yang dijalankan bagi melihat keperluan stesen minyak terutama di luar bandar dan pedalaman.
"Kajian mengambil kira aspek geografi dan jarak sesuatu kawasan. Ini penting bagi membolehkan semua orang dapat akses sama rata terhadap perkhidmatan ini,” katanya.